KUCHING: Semua Ahli Majlis atau Kaunselor pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada PSB yang dipimpin Datuk Seri Wong Soon Koh sudah disingkirkan daripada jawatan masing-masing.

Ini bermaksud daripada kira-kira 700 jawatan Kaunselor bagi 24 PBT di seluruh negeri ini kini hanya diisi wakil daripada komponen GPS yang tediri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Penyingkiran itu dipercayai susulan tindak-tanduk PSB kebelakangan ini dan desakan SUPP dan PRS supaya mereka digugurkan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata selepas menghadiri Malam Penghargaan Tuai Rumah Bahagian Kuching, di sini malam tadi, maka ini bermakna banyak muka baharu disenaraikan sebagai Kaunselor bagi setiap PBT.

“Senarai kaunselor berkenaan sudah diluluskan dan akan dibentangkan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PSB Tiong Thai King dipetik media sebagai berkata meminta ahli PSBN supaya menghormati keputusan Kabinet Sarawak dalam tidak menyertakan ahli PSB sebagai ahli majlis.

“Kita perlu hormati keputusan tentang perkara itu kerana ia dibuat sebulat suara pada mesyuarat Kabinet,” katanya seperti dipetik Borneo Post, hari ini.

Pada Khamis Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dipetik berkata tidak ada ahli parti bukan komponen GPS dilantik sebagai ahli majlis PBT yang baharu.

Beliau berkata senarai baharu Ahli Majlis PBT di negeri ini dimuktamadkan semasa Mesyuarat Kabinet Negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketika ini, pelantikan sebagai ahli majlis ialah pelantikan politik dan mereka berkhidmat selama dua tahun.

Tempoh perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan sehingga setahun, malah boleh dilantik semula untuk penggal seterusnya.

Kini kedudukan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King juga dalam penuh teka-teki apatah lagi sebelum ini ada desakan daripada SUPP supaya jawatan itu diberi kepada wakil parti tertua Sarawak itu.