KABONG: Hari Kemahiran dan Keusahawanan Anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Peringkat Negeri Sarawak dengan tema “Juh Kito Bertetei Gambeh di Kabong” berlangsung semalam dan berakhir dengan jayanya hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen P. 205 Saratok , Ali Biju bertempat di Town Square Kabong.

Objektif penganjuran program adalah bagi mencapai peluang dan platform kepada akses pasaran produk luar bandar kepada pengedar, pembeli, pengguna dengan memperkenalkan serta mempromosi produk mereka secara terbuka dengan mengadakan jualan secara terus.

Ali Biju dalam ucapannya berkata, penganjuran program menjurus kepada usaha meningkatkan daya saing dan kebolehan pasaran produk luar bandar walaupun berskala kecil.

Kata Ali, persediaan awal untuk usahawan rintis dalam memasarkan produk luar bandar memang diketahui sukar bagi mendapat tempat di pasar raya dan market besar.

Justeru katanya dengan program sebegini diharapkan penduduk memproleh ilmu dan pendekatan bagi memasarkan produk dengan lebih efisien.

Program berkenaan melibatkan lima kawasan parlimen iaitu P. 201 Batang Lupar, P. 202 Sri Aman, P. 203 Lubok Antu, P. 204 Betong, dan P. 205 Saratok.

Antara acara yang mengisi program yang bermula dari 12 Julai hingga 13 Julai adalah pameran kemahiran, jualan produk, kursus jom cantik, kelas kemahiran, pertandingan masakan dan gubahan, pertandingan tarik tali, pertandingan fesyen, bertandak dan persembahan nyanyian.

Acara cabutan tiket bertuah menjadi acara kemuncak program dengan menawarkan hadiah berupa barangan elektrik, basikal dan hadiah utama merupakan sebuah motosikal.

Ali pada program berkenaan melahirkan rasa gembira atas sambutan yang amat baik daripada penduduk terhadap program yang dijalankan dan berharap program serupa akan diadakan lagi di sini pada masa akan datang.

Hadir sama Pengarah Kemas Negeri Sarawak, Haji Mohd . Zamri Mustajap, Timbalan Pengarah Kemas Sarawak, Langi Liban, dan Pegawai Kemas Daerah Saratok, Muhd. Iqbal Abdullah.