KABONG: Penduduk yang layak menerima bantuan sara hidup (BSH) menarik nafas lega apabila berpeluang menunaikan baucar BSH masing-masing di sini hari ini.

Proses pembayaran BSH Fasa 2 dan 3 Pedalaman 2109 dilaksanakan di sini selepas operasi yang sama dilangsungkan di pekan Saratok semalam.

Penerima yang terlibat melaksanakan urusan masing-masing di Dewan Balai Polis Kabong bermula jam 9. 00 pagi. Operasi berkenaan dijadualkan berakhir jam 4. 30 petang.

Penduduk dari sekitar daerah ini dan sebahagiannya dari daerah Saratok yang tidak sempat berbuat demikian semalam mula membanjiri halaman Dewan Polis di sini sejak jam 7.30 pagi tadi.

Penerima terlibat boleh menunaikan baucar dan menukarkannya kepada bentuk wang tunai sepanjang tempoh yang ditetapkan oleh pihak pengelola.

Sesi penyerahan BSH berkenaan dikendalikan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama pihak Bank Simpanan Nasional (BSN).

Proses penyerahan BSH itu juga melibatkan kerjasama pihak polis, Rela dan JPAM.