PUSA: Acara sukan air, regata atau lumba perahu sempena Pesta Pusa 2019 akan berlangsung dari 19 Julai hingga 21 Julai menawarkan habuan hadiah keseluruhan berjumlah RM40, 000 kepada pemenang acara tersebut.

Daripada jumlah itu hadiah bagi gelaran Raja Sungai Rimbas berjumlah RM8,000.

Pegawai Daerah Pusa, Bujang Budin, berkata, pesta yang dianjurkan dua tahun sekali itu amat ditunggu-tunggu oleh warga di sini dan acara itu terbuka kepada peminat lumba perahu dari seluruh negeri Sarawak.

Katanya, pengelola membuka urusan pendaftaran bagi lumba perahu bermula sejak beberapa minggu lalu dan pendaftaran untuk acara itu ditutup pada hari ini (12 Julai).

“Insya-Allah, Pesta Pusa edisi kali ini menjanjikan lebih kemeriahan dan ia padat dengan beberapa acara sampingan yang dijangka akan memenuhi selera pengunjung ,” katanya bercakap selepas Mesyuarat Siri Dua Pesta Pusa 2019 di Pejabat Daerah Pusa.

Bujang yang juga penasihat pesta menjelaskan , sukan lumba perahu merupakan ejen penyatuan pelbagai pihak yang dilihat cukup berkesan kerana ia menerapkan semangat kesukanan dan kerjasama yang tinggi antara peserta.

“Acara regata kali ini dibahagikan kepada kategori Sakai 10 pekayuh, 15, 20, 25 dan Sakai 30 dengan jarak perlumbaan 1.85 kilometer.

“Sebarang urusan atau pertanyaan tentang perlumbaan boleh menghubungi Ja’afar Yussup (016-9524274), Berahim Abang Bakar (019-5322971) atau Mat Saini @ Jamir (013-8137197).

“Aktiiti lain yang akan dilangsungkan adalah seperti sukaneka, sukan rakyat, senamrobik, pentas hiburan serta pelbagai lagi. Selain itu, dijangka 100 gerai peniaga akan membanjiri Pekan Pusa bagi aktiviti gerai jualan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Daerah Pusa di talian 083-465130, ” ujarnya.