KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) akan boleh membeli rumah pertama, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan, Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata inisiatif tersebut bagi melayakkan golongan muda memiliki rumah sendiri dan ia membabitkan pembelian semua jenis perumahan dan bukannya di bawah kementeriannya sahaja.

Menurutnya, inisiatif ini akan dilancarkan bersama skim lain untuk perumahan belia pada 18 Okt depan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.

“Hanya untuk membeli rumah sahaja mereka akan dikeluarkan daripada senarai CCRIS,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang media mengenai persidangan hartanah Hi HOME, di sini semalam.

Dalam pada itu, Zuraida seperti dilapor Bernama berkata 30 peratus daripada 10,000 unit rumah mampu milik yang akan dibangunkan di Bandar Malaysia akan diperuntukkan kepada golongan belia.

Mengulas perkara tersebut, Syed Saddiq berkata ia antara inisiatif kerajaan dalam membantu golongan muda untuk memiliki rumah di kawasan strategik.

“Ia penting kerana di Bandar Malaysia yang merupakan salah satu projek yang begitu strategik akan ada 3,000 unit khas khusus bagi anak muda,” katanya.

Gambar fail