KUCHING: Agensi-agensi di bawah Kementerian Utiliti komited untuk membina kesedaran awam serta pihak berkepentingan mengenai rancangan strategik kerajaan untuk menyediakan bekalan air dan elektrik kepada semua rakyat Sarawak bagi kawasan bandar dan luar bandar sebelum tahun 2025.

Menurut sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Utiliti Sarawak, komitmen ini dizahirkan melalui bengkel yang dianjurkan oleh Kementerian untuk meningkatkan kemahiran komunikasi awam di kalangan ketua agensi dan pegawai komunikasi.

Tambah kenyataan media tersebut, para peserta menunjukan semangat yang tinggi untuk memberi kerjasama bagi memperbaiki dan mempercepatkan proses penghantaran maklumat kepada kumpulan sasaran.

Oleh hal yang demikian, agensi yang terlibat adalah disarankan untuk merancang pelbagai aktiviti yang dapat merapatkan hubungan dengan pihak media.

Hal ini kerana, peranan media dalam membantu menyebarkan maklumat dengan tepat dan cepat adalah penting kepada rakyat.