Parti Sarawak Bersatu (PSB) merupakan nama sebuah parti yang dijenamakan semula daripada Rakyat Bersatu (UPP).

Pada 22 Februari tahun ini, Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan permohonan parti itu untuk menukar nama daripada UPP kepada PSB serta mengguna logo baharu.

Logo baharu parti yang memperlihatkan matahari cerah terbit dari horizon Sarawak. 

Tanah Sarawak dengan matahari terbit ialah simbol bahawa PSB parti berasaskan Sarawak yang tulen.

Tiga warna yang digunakan (kuning, hitam dan merah) mewakili warna negeri Sarawak yang mana menggambarkan imej dan pandangan Sarawak yang pelbagai kaum. 

Cadangan untuk mengubah nama dan logo parti  dicadangkan pada Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali kedua parti di Sibu pada 7 Julai 2018 untuk imej yang lebih pelbagai kaum. 

Meskipun berubah nama dan logo, namun PSB  tidak akan mengubah ciri-ciri parti yang berbilang kaum. 

Parti itu dipimpin oleh Datuk Sri Wong Soon Koh.

“Kami akan sentiasa menjadikan teras pelbagai kaum sebagai kekuatan parti dan akan menolak komunalisme atau perkauman dalam sebarang bentuk. 

“Kami tidak akan goyah dengan emosi dan dan bersikap lebih terbuka untuk menyatukan semua kaum dalam parti kami dan negeri Sarawak,” kata Soon Koh pada akhir tahun lalu. 

Parti mesra GPS itu terbentuk pada 2014 selepas Datuk Seri Wong Soon Koh dan beberapa pemimpin keluar dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berikutan kemelut kepemimpinan.

Soon Koh dan Dr Jerip kemudian bertanding sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) pada dalam pilihan raya negeri lalu.

Mereka kemudiannya kembali ke dalam barisan Kabinet Sarawak walaupun parti mereka tidak diterima parti lain dalam GPS.

Hari ini Datuk Dr Jerip Susil mengumumkan keluar dari PSB berkuatkuasa serta-merta melalui surat rasmi bertarikh 10 Julai 2019.

Adun PSB yang tinggal ketika ini ialah Adun Opar, Datuk Ranum Mina dan Adun Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa, Adun Dudong Datuk Tiong Thai King dan Bawang Assan Datuk Sri Wong Soon Koh.

Pada awal Mac lalu seorang Ahli Parlimen PRS (Sri Aman) Masir Kujat telah menyertai PSB.

Sebelum ini, Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing mahu pemimpin PSB  digugurkan daripada Kabinet Sarawak.

SUPP awal Mac lalu mahu penarikan semua pelantikan kerajaan kepada semua pemimpin PSB seperti pelantikan menteri, setiausaha politik kepada ketua menteri, ahli majlis dan pengerusi majlis.

Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, SUPP juga menyokong dana untuk Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dipotong serta-merta.

Adakah dengan perkembangan terbaharu ini akan membawa kepada pengguguran Wong Soon Koh daripada Kabinet Sarawak?

Yang pasti dengan keputusan Jerip Susil keluar dari PSB menandakan ada sesuatu yang tidak kena dalam PSB. Ia membayangkan berlakunya konflik dan perpecahan, dan mungkin juga ketidakyakinan terhadap kepemimpinan Wong Soon Koh.

Ya, ada apa dengan PSB?

Dr Jerip Susil