KUCHING: Sarawak tidak mahu ketinggalan dalam teknologi digital dan pertumbuhan ekonomi digital  kerana ia mampu membawa banyak manfaat kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak juga mampu setanding dengan negara maju  lain pada era digital yang mengguna pakai teknologi yang lebih rumit dan kompleks.

Ini, katanya, termasuk telekomunikasi 5G, Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Voice Recognition, Virtual and Augmented Reality (VR / AR).

“Sama ada kita maju dalam bidang penyelidikan baharu atau hanya menjadi pengikut tanpa dapat membawa banyak kemajuan kepada rakyat dan negara kita bergantung kepada perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2019 (IDECS) di sini, semalam.

Abang Johari berkata Sarawak juga telah merangka strategi dan pelan tindakannya yang berada di peringkat awal pelaksanaan pada ketika ini.

“Beberapa inisiatif awal untuk melaksanakan strategi ekonomi digital adalah dalam konteks kerajaan digital, perkilangan, bandar pintar, pelancongan, pertanian dan e-dagang,” ujarnya.