KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak KWKPK mempunyai pelbagai inisiatif dan program yang telah diatur dan sedang dilaksanakan bagi menyalurkan bantuan kepada masyarakat setempat.

Oleh itu, tegas Menterinya, Datuk Sri Hajah Fatimah Abdullah, KWKPK tidak pernah melantik agensi luar yang tidak sah untuk menjadi medium dalam menguruskan bantuan yang disalurkan kepada masyarakat. Ujar beliau, antara badan yang terlibat sah dengan KWKPK ialah seperti Sukarelawan Kebajikan, Jawatankuasa Kampung, Ketua Kaum dan Sukarelawan Skuad Sayang.

Lantaran itu, saran beliau agar orang ramai segera menghubungi Helpline Kebajikan sekiranya berasa was-was akan bantuan yang disyorkan dan disalurkan oleh pihak-pihak tertentu kepada mereka.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Ramah Mesra Gawai Raya KWKPK & Rakan Strategik serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 yang bertempat di Dewan Baitulmal, Majma, Kuching, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut memberi penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang terlibat dalam program-program kebajikan yang telah diadakan oleh KWKPK. Antaranya, pihak AADK, PDRM, JSJN dan Jabatan Kesihatan.