Tuesday, May 11, 2021

Jangan ke Sarawak hendak main politik

Mesti baca

KUCHING:  Jangan datang ke Sarawak untuk main politik.

Sebaliknya jalankan amanah dengan menjaga kebajikan rakyat.

Itulah peringatan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Ketua Penyelaras Bersatu Sarawak, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Minggu lalu Redzuan berkata, Sarawak ialah negeri yang diberi rezeki yang lebih tetapi Bersatu tidak nampak kekayaan ini dikongsikan dengan rakyat jelata.

Kata Wan Junaidi, kenyataan menteri itu dapat mengelirukan rakyat sarawak.

Beliau berkata, Redzuan sebagai menteri mewakili PH harus melaksanakan semua projek yang diluluskan kerajaan terdahulu.

“Laksanakan dasar pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di luar bandar,” tegas Wan Junaidi.

Pada minggu lalu, Menteri Pembangunan Usahawan pada sidang medianya  berkata, kemasukan Bersatu ke Sarawak adalah untuk membolehkan masyarakat pribumi di negeri ini menyuarakan hasrat mereka dalam satu platform dengan kerjasama parti Pakatan Harapan (PH) yang sedia ada.

Kata beliau tujuan Bersatu ke Sarawak adalah untuk membuat perubahan yang kita telah lihat hari ini di peringkat Persekutuan dan perjuangan kita adalah semata-mata untuk kepentingan rakyat Sarawak dan kita tidak kacau pun parti-parti lain.

“Kalau sesiapa yang menyatakan kita datang ke Sarawak untuk memecahbelahkan rakyatnya, kita nak minta bukti,” beliau dipetik sebagai berkata.

Pendaftaran Bersatu Sarawak diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 9 Mei.

Bersatu  dilancarkan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bintulu pada 1 Disember tahun lepas.

Setakat ini pendaftaran 12 daripada 31 bahagian Bersatu Sarawak telah diberi kelulusan ROS, termasuk bahagian Kuching, Santubong, Stampin, Kota Samarahan, Bintulu, Sri Aman, Ulu Rajang, Julau, Sibuti dan Mukah.

Secara Rawak

Artikel Terbaru