DALAT:  Seorang wanita maut selepas ditimpa pokok sagu yang ditebang suaminya dalam kejadian di Kampung Kekan, di sini, semalam.

“Kejadian jam 11 pagi itu mengakibatkan Agnes Tayok, 51, meninggal dunia di lokasi kejadian,” menurut portal Berita Harian, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Roslan Leman dipetik Berita Harian berkata mangsa bersama-sama suaminya, Unau Using, 56, sebelum itu pergi ke kebun untuk menebang pokok sagu yang terdapat di tepi sungai kampung mereka.

“Ketika suaminya sedang memotong pokok itu, mangsa menariknya menggunakan tali untuk mengelak pokok terbabit tumbang ke arah rumah sarang burung yang ada berdekatan.

“Bagaimanapun, pokok terbabit tumbang ke arah mangsa dan dia tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Roslan berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Dalat oleh pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan kes masih dalam siasatan.

Dalat dan Mukah merupakan dua daerah yang menjadi pengeluar utama tepung rumbia di Sarawak sejak abad ke-19.