KUCHING: Sarawak kaya dengan biodiversiti, tempat pelancongan yang menarik dan rakyat berbilang kaum.

Namun, Sarawak yang menyasarkan untuk menarik lima juta pelancong tahun ini perlu mempunyai lebih banyak produk pelancongan baharu untuk meningkatkan jumlah pelancong berkunjung ke negeri ini, sekali gus meningkatkan ekonomi. 

Tetapi pasti sasaran itu sukar dicapai jika kita hanya bergantung kepada produk pelancongan sedia ada.

Menurut Saazad Chowdhury, dari Bangladesh yang bekerja sebagai penyelaras program di sini, Sarawak perlu mempelbagaikan makanan dan pesta kerana pelancong amat meminati makanan tradisional pelbagai suku kaum di Sarawak.

“Saya amat meminati makanan suku kaum Iban di Sarawak, iaitu ayam pansuh.  Jika dapat, Sarawak perlu mempelbagaikan dan memperkenalkan makanan kaum yang lain agar pelancong tertarik untuk melancong ke  sini,” katanya. 

Beliau berkata, pelancong luar negara juga amat meminati tarian pelbagai suku kaum seperti tarian joget Melayu asli serta tarian ngajat. 

“Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengadakan pesta tradisional agar dapat menarik lebih ramai pelancong dari negara luar,” katanya. 

Kavin Lagir, 45, dari Serian berharap Kerajaan Sarawak membuka pusat percutian di kampung yang mempunyai habitat paya bakau. 

“Petempatan yang mempunyai habitat paya bakau secara tidak langsung dapat menarik minat pengunjung dari dalam mahupun luar negara sekali gus meningkatkan jumlah pelancong melihat sendiri keistimewaan  paya bakau itu,” jelasnya.

“Saya melihat paya bakau yang cantik dan banyak di Kampung Sungai Aur, Kuching dan pihak media perlu bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menyiarkan dokumentari atau video pendek,” ujarnya. 

Menurut Freedy Ajah Mancha, usahawan muda, Sarawak perlu menggalakkan pelancongan agropelancongan. 

“Aktiviti penternakan juga sumber ekonomi yang dapat diraih menerusi jualan langsung hasil ternakan pasaran secara makro seperti Desa Dairy Farm di Kundasang, Sabah,” katanya.

Menurut beliau, tempat sesuai adalah di Puncak Borneo, Padawan kerana suhu di kawasan tinggi ini adalah dari 16 darjah Celsius sehingga 28 darjah Celsius dan ia dapat menarik lebih ramai pelancong dengan suasana sekeliling yang cukup cantik. 

Awang Zaki Awang Suhaili, penuntut Universiti Teknologi Mara berpendapat pihak pemegang taruh dalam sektor pelancongan perlu memperbanyakkan hasil kraf tangan seperti produk kayu, buluh, anyaman mengkuang dan rotan. 

“Pihak pusat penginapan juga perlu bekerjasama dengan melengkapkan peralatan perabot di hotel mereka dengan perabot yang berasaskan kayu atau rotan supaya pengunjung dapat melihat serta minat dengan kualiti tersebut kerana beranggapan ia unik dan lain daripada yang lain,”  katanya. 

Hal ini, jelasnya akan membantu Sarawak dari segi sektor ekonomi apabila pelancong berminat dengan produk tersebut dan ingin mengeksport barangan kayu, buluh atau rotan ke negara mereka. 

Menurut Felicia Emily Raub, 36, produk infrastruktur di Kampung Budaya Sarawak perlu ditambah baik dan aktiviti di sana perlu dipelbagaikan kerana ia merupakan tempat tumpuan bagi pengunjung dari luar negara. 

“Apabila produk pelancongan tersebut dapat memikat hati masyarakat seluruh dunia, hal ini mungkin akan menaikkan nama negara Malaysia di mata dunia dan menyebabkan kemasukan pelancong luar meningkat masuk di Sarawak,” ujarnya. 

Jelasnya, pihak berkuasa perlu memastikan penambahbaikan produk tersebut  supaya dapat menarik orang luar.

 “Kampung Budaya Sarawak juga perlu menyediakan lebih banyak tapak dan aktiviti untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung dari dalam atau luar negara,” katanya.