PADANG BESAR: Sindiket penjualan senjata api tiruan menerusi rangkaian media sosial di Padang Besar, Perlis terbongkar.

Ini selepas serbuan polis di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh dekat Kaki Bukit, Padang Besar pada Rabu.

Serbuan menemukan pelbagai senjata api tiruan, termasuk peluru dan gari yang dianggarkan bernilai RM70,000.

Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki sebagai pengedar.

Polis masih memburu seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai sebagai ‘runner’.

“Kita tengah usaha untuk kesan berapa banyak dah keluar, sebab dia kata tiga kali seminggu dia masuk.

“Kita nak tengok berapa banyak dah keluar dan berapa banyak dia dah edar kepada pembeli… rumah ni kira penyimpanan dia. Dia duduk situ, dengan dengan keluarga ada ayah, ibu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Muhammad Halim, senjata tiruan itu diedar melalui penghantaran kurier selepas pesanannya dibuat melalui WhatsApp.

Suspek direman tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu minggu depan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan.