BANGKOK: Hari pertama Varanya Nganthavee, 25, menjalankan tugasnya sebagai doktor di Hospital Rajavithi, Bangkok akan sentiasa diingatinya untuk selamanya.

Ketika hendak menghabiskan tugasannya, pesakit masuk ke biliknya mengadu sakit telinga sejak dua hari lalu.

Ketika menjalankan pemeriksaan menggunakan otoskop, Varanya terkejut melihat sesuatu sedang bergerak di dalam telinga pesakitnya itu.

Dia kemudiannya memasukkan antibiotik ke dalam telinga pesakit itu dan kemudiannya memintanya menyendeng kepalanya agar objek yang berada di dalam telinganya keluar sendiri.

Apabila ia tidak berlaku, Varanya menggunakan penyepit untuk menariknya keluar.

Objek yang melekat di penyepit itu amat mengejutkan kerana ia bukannya serangga, tetapi cicak gecko.

Dia kemudian meminta pakar memeriksa telinga pesakit tersebut.

Nasib pesakit itu agak baik kerana telinganya tidak mengalami sebarang infeksi.