Ramai agak terkejut apabila Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Tujuannya adalah untuk menguatkan kuasa politik kaum Melayu yang merupakan etnik  terbesar di negara.

Pengerusi Bersatu  tersebut menambah bahawa penyatuan itu penting kerana Melayu sudah  berpecah kepada enam parti. Beliau mendakwa faktor ketamakan untuk mendapat kedudukan menyebabkan orang Melayu  berpecah enam.

Siapakah yang tamak kedudukan dan adakah ini benar?

Kalau dilihat perpecahan awal UMNO hingga wujudnya parti  Semangat 46 akibat persaingan politik di antara Mahathir dan Tengku Razaleigh hingga UMNO lama diharamkan manakala  Tengku Razeleigh membuka parti baru. Namun disebabkan parti tersebut tidak mendapat sambutan maka akhirnya parti Semangat 46 bubar dan akhirnya Kuli kembali bersama UMNO.

Pada tahun 1998 berlaku pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Mahathir Mohamad yang dituduh dengan salah laku politik liwat. Namun sehingga kini pertuduhan tersebut tidak pernah dibuktikan kecuali disabit salah guna kuasa apabila meminta polis menyiasat dan bertindak akan  perkara tersebut.

Hal ini menyebabkan kemarahan rakyat Malaysia, hingga mencetuskan reformasi terbesar dalam sejarah politik Malaysia.  Anwar yang dipecat akhirnya menubuhkan parti Keadilan. Parti tersebut kemudian bertanding pada pilihan raya 1999 dan memenangi beberapa kerusi.

Ternyata Parti Keadilan Rakyat mendapat dukungan daripada rakyat dan terus relevan hingga kini. Parti ini merupakan parti terbesar dalam Pakatan Harapan apabila mempunyai 50 kerusi parlimen  dan menjadi Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan.

Kehendak Mahathir

Apabila Mahathir tidak berpuas hati dengan Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri yang disokong dan didukung kuat oleh beliau sendiri, beliau akhirnya  keluar daripada UMNO dan membentuk parti Bersatu untuk memastikan parti UMNO tewas dan parti Bersatu menjadi Perdana Menteri.

Matlamat ini berjaya hasil daripada sokongan parti DAP, PKR dan Amanah serta kerjasama parti Warisan Sabah. Namun parti Bersatu cuma menang 13 kerusi parlimen sahaja meskipun bertanding lebih 50 kerusi parlimen di seluruh negara.

Bagi meneruskan kekuasaan dan survival parti Bersatu, Mahathir sanggup menerima ahli politik UMNO untuk melompat ke Bersatu.  Namun, cuma wakil rakyat UMNO tertentu sahaja yang sanggup melompat parti sedangkan ahli biasa masih terus bersama UMNO.

Buktinya, setakat ini tidak ada cawangan atau bahagian UMNO dibubarkan  akibat kemunculan dan pengaruh kuat parti Bersatu. Inilah sebenarnya menyebabkan Tun Mahathir risau, lebih-lebih lagi cawangan-cawangan parti Bersatu sangat perlahan untuk berkembang.

Dalam satu bahagian, cuma ada beberapa cawangan kecil sahaja dan tidak berkembang pesat sebagaimana diharapkan pada menjelang pada pilihan raya ke-14 atau ketika baru menang di Putrajaya.

Hakikatnya, parti Bersatu dilihat gagal menyaingi UMNO dari segi sokongan akar umbi. Tidak ada ahli UMNO berbondong-bondong atau beramai-ramai  keluar dari UMNO dan menyertai Parti Bersatu. Contoh yang paling ketara ialah apabila Dato Mustapa Muhamed ahli parlimen Jeli yang keluar dari UMNO dan menyertai parti Bersatu.  Tidak ada cawangan dan bahagian yang bubar. Umno Jeli masih lagi kuat dan kerjasama dengan parti PAS menunjukkan parlimen Jeli pada pilihan raya umum akan datang sukar dimenangi oleh parti Bersatu yang dipimpin Tok Pa di Jeli nanti.

Inilah antara kebimbangan Tun Mahathir bahawa pada pilihan raya ke-15 peluang parti Bersatu untuk menang semula agak tipis.  Kebanyakan kawasan dimenangi oleh parti Bersatu tidaklah terlalu besar majoriti.

Tambahan pula, kerjasama PAS dan UMNO akan menyebabkan parti Bersatu dan Amanah tersepit. Kerisauan ini bertempat kerana parti Amanah juga seperti Bersatu, tidak ada aktiviti besar-besaran dalam menambahkan ahli dan membuka cawangan-cawangan parti tersebut.

Manakala UMNO dan PAS sudah mempunyai struktur politik yang lebih teguh daripada peringkat cawangan  dan bahagian. Cuma kelemahan politik warlord umno di peringkat bahagian yang turut merosakkan nama baik parti UMNO yang sering dikaitkan dengan politik wang perlu dibersihkan lagi.

UMNO kini dilihat mulai pulih apabila mereka yang tidak setia sudah keluar menyertai Bersatu dan kini menunggu pembersihan dalam kalangan Ketua-Ketua Bahagian dan Majlis Tertinggi UMNO untuk pastikan UMNO sebuah parti yang berdaya saing dan sudah berubah.

Inilah membimbangkan Tun Mahathir. Kedudukannya sebagai Perdana Menteri  juga tidak dapat stabil lebih-lebih lagi Bersatu parti minoriti bersama Amanah dalam Pakatan Harapan.

Sebab itu, tanpa malu-malu beliau mempelawa ahli UMNO  menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Yang sebenarnya, Tun Mahathir mahukan ahli-ahli Parlimen UMNO menyertai parti BERSATU agar beliau dapat mengukuhkan kuasanya dalam Pakatan Harapan (PH). Apabila parti kecil mempelawa parti  besar menyertai ia agak jangkal.

Hakikatnya PAS dan UMNO mampu mengalahkan populariti Bersatu. Manakala DAP dan PKR dilihat parti politik yang besar dan berkuasa kerana mempunyai jumlah kerusi yang majoriti. Kedudukan Bersatu sebagai parti minoriti tidak dapat menjamin pencapaian dan pengaruh besar khususnya selepas era beliau sebagai perdana menteri akan berakhir.

Yang pasti, Parti Bersatu kelihatan terlalu bergantung kepada aura Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan ini berbahaya untuk masa depan parti tersebut. Apakah 10 tahun lagi Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhiyiddin Yassin akan mampu memimpin Bersatu lagi? Inilah akar umni Bersatu perlu berfikir secara rasional dan realistik!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.