BELAWAI: Pelbagai aktiviti yang dianjurkan dalam Karnival Pantai Belawai berjaya menarik pengunjung ke sini.

Adun Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata, program yang sebelumnya dikenali sebagai pesta Belawai menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan memancing, pertunjukan layang-layang, ‘Belawai Beach Run,’ sukan rakyat di pantai, bermukun, pertandingan zumba, karaoke kilauan emas, ratu ibu, pertandingan mewarna dan pertandingan memasak.

“Menjadi harapan kita agar pelbagai aktiviti yang dianjurkan dapat menarik pengunjung bukan sahaja dari daerah ini, bahkan dari kawasan dan daerah berdekatan iaitu Sibu, Sarikei dan Mukah,” katanya pada majlis perasmian Karnival Pantai Belawai, semalam.

Ujar beliau yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, program yang mendapat penyertaan pelbagai lapisan masyarakat itumelambangkan keharmonian negeri Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Penduduk di sini berterima kasih kepada kerajaan Sarawak yang sentiasa prihatin terhadap keperluan mereka,” jelas beliau.