KYUSHU: Lebih sejuta penduduk Pulau Kyushu, Jepun diperintahkan segera berpindah setelah terancam tanah runtuh dan banjir akibat hujan deras turun sejak akhir Jun.

Pihak berkuasa meminta penduduk di Kagoshima dan Miyazaki segera mencari tempat yang lebih selamat.

Setakat Khamis, dua orang dilaporkan meninggal dunia, seorang perempuan di kota Kagoshima setelah berlaku tanah runtuh menimpa rumahnya, dan seorang lagi dinyatakan hilang.

Perdana Menteri Shinzo Abe menyeru penduduk di kota yang terkesan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi diri.

Seluruh penduduk di kota Kagoshima seperti Kirishima dan Aira diperintahkan berpindah, sementara sekitar 930,000 orang lain di selatan Pulau Kyushu sudah diperintahkan berpindah.

Hujan dijangka menghentam pulau Jepun hingga Sabtu.