BALIKPAPAN: Perkahwinan antara seorang lelaki Sulawesi Selatan dengan adik kandungnya yang dilaporkan baru-baru ini dikatakan tidak sah.

Pasangan adik-beradik itu dikatakan bernikah tanpa pengetahuan keluarga selepas diwalikan sepupu mereka di Balikpapan, Kalimantan pada 23 Jun lalu.

Menurut laporan Kompas, Ketua Pejabat Kementerian Agama Balikpapan Hakimin berkata, pihaknya memeriksa semua Pejabat Urusan Agama (KUA) Balikpapan dan tiada nama pasangan itu didaftarkan.

“Kita sudah memeriksa dan mengesahkan di semua KUA Balipapan, dan senarai perkahwinan atas nama Ansar.

“Pihak kita juga mengeluarkan surat rasmi tiada perkahwinan ini didaftarkan,” tegasnya.

Menurut Hakimin, perkahwinan kedua-dua pasangan adik-beradik itu mungkin tidak direkodkan di KUA.

Tambah beliau, pihak yang menjalankan pernikahan itu bukan penghulu rasmi KUA dan jelas melanggar undang-undang apatah lagi pembayaran melibatkan sehingga 2.4 juta rupiah.

“Jika penghulu tidak sah dalam undang-undang, maka perkahwinan itu juga tidak sah,” jelasnya.

Dalam pada itu, wanita yang menjadi isteri kedua abangnya itu, kini hamil empat bulan.

Media Indonesia melaporkan, bapa kandung mereka, berkata dia mahu hukuman setimpal dijatuhkan terhadap dua beradik itu kerana memalukan keluarga dan melanggar ajaran agama.

Menurut laporan berita itu, ayahnya merelakan dua anaknya itu dimasukkan ke dalam guni dan dibuang ke laut.

Dua beradik itu meminta izin daripada keluarga untuk melawat Balikpapan pada awal Jun lalu dan berkahwin di sana.

Bagaimanapun, rahsia perkahwinan mereka terbongkar selepas anggota keluarga menerima kiriman gambar dan video akad nikah.

Pasangan itu dilapor melarikan diri ke Surabaya, Jawa Timur dan merancang ke Australia, namun terpaksa membatalkan niat itu kerana sukar mendapatkan visa.

Gambar hiasan