ROCHEFORT: Menjadi lumrah bagi ayam jantan berkokok, namun di Pulau Oleron, Perancis, ada orang tidak suka mendengar kokokan ayam sehingga membawa isu tersebut ke mahkamah.

Pasangan penghuni pencen di Pulau Oleron itu, Jean-Louis Biron dan Joëlle Andrieux membenci kokokan ayam jantan bernama Maurice kerana suaranya didakwa mengganggu ketenteraman mereka.

Sekitar 15 tahun lalu, pasangan terbabit mendirikan rumah di Saint-Pierre-d’Oléron menjadi rumah kediaman pencen mereka.

Namun bermula 2017, ketenangan mereka di rumah itu mula terganggu oleh kokokan keras Si Maurice.

Mereka mengadu kepada pemilik Maurice bernama Corinne Fesseau yang tinggal di Oléron 35 tahun.

Hubungan pasangan terbabit dengan Fesseau tegang selepas itu dan perselisihan mereka menjadi berita utama dalam kalangan masyarakat setempat.

Memetik BBC pada Jumaat lepas, Fesseau mengatakan ayamnya Si Maurice hanya melakukan lumrah seekor ayam – berkokok.

Di mahkamah, Maurice bahkan pelapornya pasangan pencen terbabit tidak hadir di pengadilan di Rochefort pada Khamis.
Baca Juga:
Namun Maurice yang kini menjadi “selebriti setempat” mendapat sokongan daripada pemilik ayam jantan lain di luar mahkamah.

Bagi Fesseau dan penyokongnya, kokokan ayam jantan adalah sebahagian daripada kehidupan desa, dan tidak masuk akal membawa isu itu ke mahkamah.

Mahkamah sedia menjatuhkan hukuman bagi kes kokokan Maurice ini September akan datang.