BEIJING: Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang menyelar delegasi AS dan Jerman yang melontarkan tuduhan tidak berasas terhadap China di Dewan Keselamatan PBB baru-baru ini.

“AS dan Jerman menyimpang dan membuat tuduhan tidak berasas berkaitan program China di Xinjiang,” ujar Geng memberitahu wartawan di pejabatnya Rabu lalu.

China menganggap AS dan Jerman melontarkan “tuduhan melulu” mendakwa kumpulan minoriti Muslim Uighur ditempatkan di kem pemulihan minda dan dituduh melanggar hak asasi manusia.

Di kem berkenaan, tahanan dilaporkan didoktrin supaya mengamalkan ideologi komunis dan meninggalkan identiti suku mereka.

Geng menekankan sesungguhnya China tidak membiarkan pihak asing mencampuri urusan domestiknya.

Beliau meminta Dewan Keselamatan PBB tidak menjadi panggung politik bagi sejumlah negara.

China berulang kali membantah seluruh tuduhan diskriminasi itu. Beijing juga mengatakan kem penampungan Uighur itu hanyalah “pusat latihan vokasional.”

Di situ, etnik Uighur dikatakan diajar bahasa Mandarin dan sejumlah ketrampilan lainnya sebagai usaha menjadikan etnik minoriti itu berdikari.