Beberapa hari lalu, media sosial dan media arus perdana meriah dengan berita berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri berkenaan dengan rakyat Sarawak yang mahu Najib Razak kembali menjadi Perdana Menteri. Adakah Ahli Parlimen Batang Sadong ini ada data mengesahkan kenyataan beliau itu? Sekiranya tidak, itu ialah pandangan peribadi beliau seorang.

Semalam saya berborak dengan beberapa orang kawan dan sempat bertanya berkenaan dengan kenyataan Ahli Parlimen Batang Sadong itu.

Mereka ketawa dan menyatakan bahawa hanya orang yang buta politik sahaja yang mahu Najib kembali menjadi Perdana Menteri.

Ternyata, kenyataan bekas menteri persekutuan itu tidak mencerminkan pandangan serta kehendak hampir tiga juta rakyat Bumi Kenyalang.

Tidak semudah itu bagi rakyat Sarawak menerima kembali Najib sebagai Perdana Menteri yang masih dirantai kes salah guna kuasa terutama berkaitan dengan dana 1MDB.

Rakyat Sarawak bukan seperti yang dinyatakan oleh bekas menteri dengan sewenang-wenangnya mahukan Najib kembali menjadi Perdana Menteri. Kini, rakyat Sarawak sedar akan apa yang berlaku dalam kerajaan sebelum ini yang hingga hari ini kesan masih dialami semua rakyat Malaysia.

Tidak dinafikan sumbangan Najib sebagai Perdana Menteri kepada Sarawak terutama di kawasan luar bandar, namun sumbangan beliau sebelum ini bukan bererti rakyat Sarawak mahukan beliau balik menjadi Perdana Menteri.

Tolong jangan merendahkan tahap kecelikan rakyat Sarawak dengan mengatakan rakyat Sarawak mahukan pemimpin yang tidak ada integriti kembali menjadi Perdana Menteri. Cukup sudah rakyat Sarawak membuat kesilapan sebelum ini dengan mendukung pemimpin yang terpalit dengan masalah rasuah dan salah guna kuasa seperti Najib.

Kini, rakyat Sarawak sudah pasti menginginkan seorang pemimpin yang mempunyai integriti serta memperjuangkan nilai tadbir urus yang baik serta membela nasib rakyat.

Para pemimpin kerajaan kini harus memperjuangkan nilai integriti dan tadbir urus yang baik dalam pemerintahan agar nasib serta hak rakyat terus dibela.

Belajar daripada kesilapan para pemimpin kerajaan terdahulu yang kini sedang bergelut dengan pendakwaan kes di makhamah berkaitan dengan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Kajian Persatuan Patriot Sarawak yang membabitkan 21, 550 responden terdiri daripada 60 peratus penduduk bandar dan 40 peratus subbandar dalam laporan sebuah akhbar ternyata tidak mahu Najib diberi peluang kedua sebagai Perdana Menteri.

Jelas bahawa daripada jumlah keseluruhan responden yang memberi respons, 90.5 peratus tidak mahu Najib diberi peluang kali kedua.

Persoalannya, apakah rasional bekas menteri membuat kenyataan seperti itu? Adakah ini hanya kenyataan provokasi yang ingin mengetahui sentimen terkini rakyat Sarawak?

Apa yang pasti, kenyataan seperti itu boleh menyebabkan rakyat Sarawak menilai pemimpin yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

Ini bermaksud, rakyat Sarawak pasti mempersoalkan tahap integriti pemimpin yang menyokong pemimpin yang sedang menjalani proses pendakwaan oleh mahkamah berkaitan dengan integriti serta salah laku sebagai seorang pemimpin.

Secara tidak langsung, bekas menteri yang membuat kenyataan seperti itu boleh memberi persepsi negatif kepada rakyat Sarawak yang menginginkan pemimpin yang berintegriti serta mengamalkan nilai tadbir urus yang baik dalam pemerintahan.

Nawaitu, sebagai seorang pemimpin, kita harus berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Ini kerana rakyat akan menilai sejauh manakah kecelikan atau tahap pemikiran pemimpin itu dalam membuat kenyataan yang ternyata bukan mewakili rakyat Sarawak.

Harus diingat, jangan memperkudakan rakyat demi survival politik masing-masing. Rakyat Sarawak sudah matang dalam membuat keputusan menentukan siapa pemimpin yang mereka pilih bagi menyuarakan hak serta suara mereka.

Jangan mengheret rakyat dalam politik murahan.

Penulis merupakan penganalisis politik serta pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.