PERTH: Pemandu kereta di lebuh raya Kwinana, Perth terpaksa menghentikan kenderaan masing-masing bagi memberi jalan kepada seekor angsa yang sedang melintas jalan.

Seorang wanita yang baik hati turut berada berdekatan angsa itu untuk memastikan haiwan itu dapat melintas dengan selamat.

Sebaik sahaja melihat angsa itu cuba menyeberang jalan yang sibuk dengan kenderaan, wanita itu dikatakan menghentikan keretanya di laluan kecemasan dan segera berlari membantu angsa tersebut.

Gelagatnya juga dirakam segelintir pemandu yang berada di dalam kenderaan masing-masing.

Tindakan berani wanita itu yang sanggup membahayakan nyawanya untuk haiwan itu mendapat pujian orang ramai.