KUCHING: Menteri Kerja Raya Baru Bian memberi jaminan pelaksanaan projek Sarawak-Sabah Link Road yang akan bermula tahun hadapan tidak akan menjejaskan projek Lebuh raya Pan Borneo fasa kedua.

“Ia akan memberi manfaat kepada lebih daripada 100,000 penduduk yang tinggal di pedalaman Miri, Limbang dan Lawas,” jelasnya seperti dipetik Suara Keadilan.

Sementara itu, Baru mengesahkan belum menerima cadangan tawaran secara rasmi daripada Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) yang mahu mengambil alih PLUS Malaysia Bhd.

“Kami tidak terima secara cadangan secara rasmi di peringkat kementerian,” ujarnya ringkas di Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pihaknya sudah menerima tawaran baru dibuat Maju Holdings berhubung pengambilalihan PLUS daripada kerajaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan spekulasi bahawa Pengerusi Eksekutif Maju Holdings, Abu Sahid Mohamed membuat cadangan itu.

Dr Mahathir berkata, Maju merupakan satu-satunya pihak yang mengemukakan cadangan tersebut.

The Edge dipetik sebagai berkata, Maju mengemukakan empat tawaran kepada kerajaan dan kesemuanya bergantung pada pelanjutan tempoh konsesi lebuh raya berkenaan yang dijangka tamat pada 2038.