KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) 2019 yang akan diadakan di sini  dari 12 hingga 14 Julai diharap dapat memecah rekod dari segi jumlah pengunjung.

Jumlah yang disasarkan ialah 24, 000 berbanding 20,000 pada tahun lalu.

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) berkata, ia berharap untuk meningkatkan jumlah sasaran pengunjung tahun ini.

“Pada tahun ini ada beberapa negara akan ikut serta untuk pertama kali, iaitu Bhutan, Pulau Canary, Mauritius, Kalimantan barat, Jamaica, Estonia dan Jepun,” jelas penolong pengurus  STB Nurhadiatul Sukinah.

Foto STB

Sementara itu, festival kali ini dilaporkan berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya kerana tahun ini ia “lebih hijau” bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah  pada akhir bulan lalu dipetik berkata, penganjuran RWFM bukan sahaja untuk memelihara kebudayaan dan kesenian tetapi juga alam semula jadi dan alam sekitar di lapangan.

“Dalam usaha bersepadu untuk menjadikan festival ini lebih mesra alam sekitar, Lembaga Pelancongan Sarawak telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat dan pertubuhan untuk menangani dan mengurangkan jejak karbon terhadap alam sekitar sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

“Festival ini diletak pada kedudukan yang unik, ia dianjurkan secara tempatan tetapi diiktiraf di peringkat antarabangsa, untuk mewujudkan impak sosial, alam sekitar dan ekonomi yang positif yang akan memberi manfaat kepada manusia dan alam sekitar,” kata  beliau.

Pada tahun ini 20 stesen air telah dipasang di seluruh Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Santubong dekat sini sepanjang tiga hari acara itu berlangsung.