ANDA berusia 18 tahun, sudah bersedia untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang? Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang dibentangkan dalam persidangan kali ini amat bersejarah.

Sekitar 200 negara di dunia sudah mengamalkannya. Malaysia antara sedikit  negara yang belum melaksanakannya.

Usul ini sesungguhnya bersifat bipartisan dan menuntut semangat permuafakatan semua anggota Dewan Rakyat.

Adakah undi majoriti dua per tiga bakal diperoleh atau sekali lagi ia menemui kegagalan ketika PH hanya memerlukan sembilan undi bagi memastikan pindaan ini berjaya?

Pindaan usul  ini mempunyai kesan mendalam dan berpanjangan terhadap landskap sosiopolitik negara.

Ia mengutamakan golongan muda yang bakal mencorakkan masa hadapan Malaysia.

 Perkara ini tidak terkandung dalam janji manifesto PH menjelang PRU-14. Namun, pada 19 September tahun lalu, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu dan usul pindaan itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat dalam persidangan kali ini.

Perlembagaan menetapkan umur 21 tahun sebagai hak kelayakan mengundi bagi mereka yang layak di sisi undang-undang. 

Jika pindaan kali ini diluluskan, bermakna lebih daripada  50 peratus daripada sekitar 32 juta rakyat Malaysia layak mengundi. Akan terdapat 3.8 juta pengundi baharu, membawa jumlah keseluruhan kepada 18.8 juta.

Jika pindaan ini diluluskan dijangka bahawa nisbah pengundi bumiputera di negara ini akan  mengukuh daripada 62 peratus kepada 64.1 peratus. Sebaliknya, kadar pengundi Cina akan mengecil daripada  29 peratus pada 2018 kepada 26.9 peratus. 

Pada pilihan raya lalu, 93 peratus daripada pengundi Cina di Semenanjung menyokong PH. Manakala bagi pengundi Melayu, 43.5 peratus menyokong BN, 34 peratus menyokong Pas dan hanya 22.3 peratus menyokong PH. 

Jadi, apakah implikasi dan maknanya jika jumlah pengundi muda bumiputera semakin meningkat?

Jumlah pengundi  berdaftar sentiasa meningkat dari tahun ke tahun dan dari pilihan raya ke pilihan raya. Negara telah melalui 14 PRU dari PRU-1 1959 hingga PRU-14 pada 9 Mei 2018.

Pada 1959 terdapat 2.17 juta pengundi berbanding 6.7 juta rakyat, 1964 terdapat 2.76 juta pengundi daripada 9.17 juta rakyat, 1969 terdapat 3.84 juta pengundi berbanding 10.5 juta rakyat. 

Jumlah terus meningkat kepada 4.13 juta pengundi pada 1974, 1986 sebanyak 6.96 juta, 1990 (7.97 juta), 1995 (9.01 juta), 1999 (9.56 juta), 2004 (10.28 juta), 2008 (10.74 juta), dan 2013 (13.27 juta).  Pada pilihan raya umum lalu terdapat 14.9 juta pengundi daripada 32.1 juta rakyat.

Had umur kelayakan mengundi 21 tahun tidak pernah dikaji untuk diturunkan kepada 18 tahun seperti di negara lain yang mengendalikan proses pilihan raya di bawah sistem demokrasi. 

Langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun bermula selepas 1970-an di United Kingdom (1969/70), Eropah Barat (1970-an), Amerika Syarikat (1971), Kanada dan Jerman (1972).

Ini diikuti Australia, Perancis (1974), India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada 1980-an. Jepun menjadi negara yang terakhir melakukannya pada 2016.

Dalam kalangan negara Asean pula, rakyat Indonesia dan Timor Leste ialah pengundi yang termuda, iaitu 17 tahun. Kecuali Malaysia dan Singapura, negara lain telah menurunkan had umur kepada 18 tahun.

Selain Malaysia dan Singapura, enam negara lain masih mengekalkan had umur 21 tahun ialah Kuwait, Lubnan, Oman, Cameroon, Samoa dan Tongga.

Adakah 18 tahun sudah cukup matang untuk mengundi dan menentukan masa depan negara? Tidak dinafikan, rakyat Malaysia sekarang ialah golongan bermaklumat dan umur 18 tahun dianggap berupaya untuk membuat keputusan bijaksana mengenai kepentingan masa depan negara. 

Persoalannya, daripada manakah maklumat yang diperoleh mereka? Adakah mereka sedar dan celik akan perkembangan politik dan sosial semasa? 

Atau perhitungan mereka adalah hanya bersandarkan naratif di media sosial yang dibumbui sentimen dan emosi, dan bukannya fakta. Keputusan menentukan pemimpin dan politik masa depan negara perlu dibuat dengan penuh perhitungan dan kebijaksanaan, bukannya emosi.

Selepas mengharungi 14 pilihan raya, sampai masanya dasar had kelayakan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Ini sekali gus akan meletakkan Malaysia pada tahap sama dengan amalan semua negara demokrasi maju dan negara lain.

Mengapa tidak bagi yang menyokong? Bukankah mereka yang berusia  18 tahun telah tamat persekolahan peringkat SPM untuk masuk ke alam pekerjaan? Bukankah mereka juga layak bekerja  atau menceburi bidang perniagaan? Bukankah mereka layak mendapatkan lesen memandu?

Mereka sudah matang dan boleh mendirikan rumah tangga, wajar diberi hak mengundi untuk memilih wakil dan menentukan kerajaan.

Bukankah mereka juga layak menyertai pasukan keselamatan, tentera atau polis, memohon pinjaman kewangan dan  menandatangani kontrak dan perjanjian.

Mereka berusia 18 tahun juga boleh menganggotai pertubuhan politik berdaftar.

Jika ini menjadi asas dan justifikasi, bermakna, golongan yang menyokong pindaan ini menang dari segi hujah.

Tanggapan bahawa warganegara bawah 21 tahun dianggap belum matang dan tidak boleh membuat keputusan bijaksana  tidak boleh diterima. 

Alam persekolah, media dan kehidupan sudah jauh berubah daripada sebelumnya. Ini  abad teknologi dan maklumat, bukan abad TV hitam putih dan telefon kuno.

Kemajuan teknologi maklumat menjadikan mereka kumpulan pintar dan lebih bermaklumat. Tetapi, bagaimanakah bentuk maklumat yang dihadam mereka?

Menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun akan memberi hak mengundi kepada lebih ramai warganegara dewasa untuk mengundi pada pilihan raya.  

Jika pindaan ini diluluskan, langkah untuk meningkatkan celik politik perlu dilaksanakan secara strategik oleh semua pihak berkepentingan. Pendidikan dan sosialisasi politik melalui pelbagai agen dan pemegang taruh perlu dilakukan. 

Akhirnya, kita mahu mereka yang mengundi itu nanti membuat pertimbangan yang waras dan betul.

Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.