KUALA LUMPUR: Jasa dan sumbangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam bola sepak mendapat sanjungan dan penghargaan daripada Menteri Belia dan Sukan.

Di Dewan Rakyat semalam Syed Saddiq Syed Abdul Rahman  merakamkan ucapan penghargaan kepada TMJ yang disifatkannya telah memainkan peranan besar dalam perkembangan bola sepak tanah air. 

Beliau membuat kenyataan sedemikian ketika menjawab soalan tambahan daripada RSN Rayer (PH-Jelutong) semasa sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.

Rayer bertanyakan adakah kementerian mahu menerapkan atau mengadaptasi corak pembangunan bola sepak JDT terhadap pasukan negara. 

Walaupun sumbangan terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) di Johor, namun impaknya dirasai ke seluruh negara dengan ramai pemain JDT mewakili Malaysia.

“Saya juga kena ucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana mainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan landskap bola sepak khususnya melalui pembangunan di Johor sendiri,” jelas Syed Saddiq.

Ini menurut beliau,  kerana akhirnya pemain-pemain yang dilatih di Johor turut mewakili negara bagi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.