Untuk sekian lama, industri perkayuan memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga peluang pekerjaan kepada Sarawak. 

Bagi memastikan kemampanannya, Kerajaan  Sarawak mengamalkan dasar penanaman semula hutan dan dasar lain bagi menambah nilai kepada industri berkenaan. FENNY SILONG berkesempatan menemu bual Timbalan Ketua Menteri, DATUK AMAR AWANG TENGAH ALI HASAN di pejabat beliau di Petra Jaya untuk mengetahui isu berkenaan, baru-baru ini.

Bagaimana Datuk Amar melihat industri perkayuan di Sarawak?

DATUK AMAR AWANG TENGAH ALI HASAN: Industri perkayuan telah lama dijalankan di Sarawak. Industri ini memberi 80,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Sarawak. 

Malah, kita juga mengamalkan pengurusan hutan secara mampan apabila Jabatan Hutan Sarawak ditubuhkan 100 tahun lalu. 

Meskipun balak daripada hutan semula jadi semakin berkurangan, namun dasar kita adalah untuk menetapkan enam juta hutan simpan kekal. Ini termasuk penanaman semula hutan.

Mengapa Kerajaan Sarawak menekankan penanaman semula hutan?

Kerajaan Sarawak merancang untuk menanam semula hutan di kawasan seluas sejuta hektar. Walaupun prosesnya agak lambat, tetapi sumber ini amat penting untuk industri pembalakan di Sarawak. Ini kerana, pada masa akan datang, ia akan menjadi sokongan kepada industri pembalakan. 

Bagi mencapai tujuan itu, kita telah berbincang dengan pihak berkepentingan untuk mempercepatkan program penanaman semula hutan.

Apakah spesies kayu yang ditumpukan kepada penanam semula hutan?

Bagi penanaman semula hutan, kita fokus kepada spesies yang cepat membesar seperti akasia, kelampaian dan buluh. Bagi menyokong langkah ini, kita perlukan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan.

Apakah rancangan masa panjang Kerajaan Sarawak untuk industri perkayuan di negeri ini?

Pada masa ini, dasar kita adalah untuk membenarkan syarikat mengimport spesies kayu tertentu yang bukannya daripada hutan asli. Kita mahu menumpukan perhatian kepada nilai tambah produk. 

Sebab itu kita hanya membenarkan 20 peratus daripada pengeluaran industri perkayuan menerusi hutan semula jadi. Bakinya, 80 peratus kita fokus kepada program tambah nilai produk perkayuan. 

Dengan fokus kepada tambah nilai produk, kita dapat manfaat yang besar termasuk menggunakan teknologi tinggi. Kita mempunyai pasaran yang besar dalam menambah nilai produk perkayuan.

Pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak untuk menambah nilai produk…

Bagi mencapai matlamat ini, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan syarikat swasta membangunkan program latihan Pool of Young Designers (POYOD).  

Siswazah dari Unimas ditempatkan di Samling Timber Corporations, Shin Yang dan Geovani untuk menjalani latihan mereka cipta produk perkayuan. Kita juga menghantar enam pelatih Unimas ini ke Institut Teknologi Bandung (ITB) dalam ambilan pertama. Kita memilih ITB kerana industri tambah nilai perabot di Bandung sedang rancak berkembang.

Ini kerana kita antara pengeluar papan lapis yang terbesar di Asia Tenggara apabila Jepun merupakan pasaran tradisi kita. 

Saya pernah melawat syarikat produk perkayuan di Jepun dan saya dapati mereka menambah nilai papan lapis yang diimport dari Sarawak. Papan lapis itu ditambah nilai sebagai produk untuk hiasan bahagian lantai. 

Selain mempunyai kualiti tinggi, harganya pula lebih mahal. Negara China juga pengeluar papan lapis, tetapi kualiti produknya lebih rendah berbanding kita.

Ada atau tidak perubahan dasar Kerajaan Sarawak seiring dengan perkembangan industri perkayuan global?

Ya, kita merangka Pelan Transformasi Industri Kayu bagi tempoh 2015 hingga 2030 untuk mencapai sasaran eksport berjumlah RM10 bilion menjelang tahun 2030. Ini kerana industri perkayuan mampu berkembang dan memainkan peranan penting untuk pembangunan ekonomi Sarawak. Oleh itu, kita mengkaji semula beberapa dasar.

Antara dasar yang dilaksanakan di bawah pelan transformasi industri kayu ialah kuota balak sejak 1998 lagi bagi menggalakkan pemprosesan domestik dengan memastikan bekalan balak mencukupi untuk keperluan industri tempatan. 

Dasar kedua ialah melonggarkan pengimportan kayu balak untuk menggalakkan pengeluaran produk bernilai tambah tinggi untuk eksport. Ini akan menggalakkan pembangunan industri hiliran dengan membenarkan kilang dibina di hutan tanaman semula. 

Malah, pelan ini juga menggalakkan penggunaan automasi serta teknologi tinggi dalam pembuatan produk balak.

Adakah dasar ini diterima baik oleh pemain industri perkayuan di Sarawak?

Ya. Pihak yang berkaitan dengan industri perkayuan di Sarawak menyambut baik pelan transformasi ini. Setakat ini, kita mewujudkan tapak semaian yang akan diagihkan ke setiap bahagian di Sarawak. Ini ialah agenda penting bagi memastikan industri perkayuan dibangunkan secara mampan. 

Justeru, enam syarikat yang terlibat menerima Pensijilan Pengurusan Hutan yang melibatkan kawasan seluas 524,000 hektar.

Pada masa yang sama, kita mengiktiraf kayu belian sebagai kayu warisan. Belian tidak lagi dibenarkan untuk dieksport mulai sekarang dan akan ditanam secara meluas di Sarawak bagi memastikan kemampanannya.