KUCHING: Dua penempatan baru akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut iaitu Bako-Buntal dan Senari seperti yang telah diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut YB Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni berkata pengumuman Ketua Menteri ini sangat dialu-alukan penduduk di kawasan Bako khususnya dalam menyediakan kawasan kediaman yang selesa kepada rakyat. 

“Pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PBB Zon Kuching lepas, Ketua Menteri telah mengumumkan lima projek perumahan baru di mana dua daripadanya terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut iaitu di Bako-Buntal dan Senari.

“Ini merupakan projek yang dibiayai sepenuhnya di bawah Kerajaan Sarawak.

“Kawasan Bako-Buntal ini masih besar. Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Manakala, projek keduanya ialah di Senari yang mana ianya dilaksanakan di hadapan tanah lapang di Kampung Senari,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Hijrah Bako, semalam. 

Dr Hazland turut menambah, Ketua Menteri juga telah meluluskan pembinaan jalan dari hujung Bako hingga ke Buntal.

“Pada perasmian Jambatan Bako Februari lepas, Ketua Menteri telah meluluskan pembinaan jalan dari hujung Bako hingga ke Buntal  bernilai RM85 juta sepanjang 8.5 km dan dibina sebuah jambatan. Ianya dijangka akan dimulakan bermula tahun hadapan.

“Begitu juga pembinaan jalan baru di Kampung Bako yang menelan belanja RM5 juta telah diluluskan,” tambahnya. 

Sementara itu, kerisauan penduduk terhadap banjir yang sering berlaku ketika musim tengkujuh dijangka dapat diselesaikan dalam tahun ini. 

“Kerajaan Sarawak telah meluluskan Projek Sistem Perparitan yang bernilai RM210,000 di bawah Program Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2019 DUN Demak Laut. 

“Begitu juga Projek Pembinaan Sistem Perparitan Taman Bako Mesra yang bernilai RM210,000 juga telah diluluskan.

“Bagi Kampung Bako Hilir, Projek Pembinaan Dewan Masyarakat yang bernilai RM500,000 turut diluluskan,” ujarnya. 

Beliau telah mengumumkan Padang Futsal Kampung Bako Hijrah yang menelan belanja RM200,000 telah hampir siap dan kini dalam kerja-kerja akhir untuk disiapkan.

Pada majlis itu, Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf seperti warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan anak-anak yatim.