Dr Jeniri Amir

Adakah semudah itu untuk sebahagian rakyat memaafkan kesilapan dan amalan rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak ketika beliau menjadi Perdana Menteri?  

Bersediakah rakyat Sarawak memaafkan beliau? Kalau Najib didapati bersalah di dalam kes IMDB yang menjadi ibu segala isu, sudah pasti, beliau dapat ucapkan selamat tinggal kepada politik.

Bagaimana Ahli Parlimen Batang Sadong tahu bahawa rakyat Sarawak mahu Najib kembali menjadi Perdana Menteri. 

Apakah asas kenyataan itu?  Benarkah 2.7 juta rakyat Sarawak mahu beliau kembali jadi Perdana Menteri? 

Adakah Datuk Nancy Shukri sudah membuat kajian menyeluruh di seluruh Sarawak? 

Kenyataan bekas menteri itu bukan sahaja berani, tetapi saya percaya boleh mencetuskan kontroversi dan kritikan. 

Saya dapat bayangkan komen netizen yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Kenyataan itu dibuat di satu forum  anjuran Institute of Democracy and Economic Affairs (Ideas) tentang kedudukan Malaysia dalam tempoh empat tahun.

Najib memerintah negara ini selama sembilan tahun sebelum BN tewas dalam pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lalu. 

Hanya orang Sarawak yang tahu sama ada Najib seorang pemimpin yang baik ketika menjadi Perdana Menteri. 

Najib sebagai Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia dengan Najib sebagai pemimpin kepada Sarawak adalah dua perkara yang berbeza. Mungkin dalam konteks itulah kenyataan Nancy dibuat. Menurut beliau, Najib tahu apa yang diperlukan oleh Sarawak. 

Menjelang PRU-14, Najib banyak mengumumkan projek pembangunan kepada Sarawak. Berbanding populariti beliau yang menjunam di peringkat nasional, tetapi berdasarkan kajian ketika itu, populariti Najib dalam kalangan rakyat Sarawak dikatakan sekitar 55 peratus. 

Sokongan terhadap Najib adalah di kawasan luar bandar, manakala masyarakat Cina di bandar ketika itu, meluat dengan Najib.

Ketika negara bercakap tentang isu 1MDB, penduduk di luar bandar Sarawak bagai tidak begitu faham akan isu berkenaan. 

Sebaliknya, Najib yang dianggap sebagai ‘apai besar’ disifatkan sebagai pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan rakyat Sarawak. 

Secara objektif, tidak ada Perdana Menteri sebelumnya yang dapat melawan Najib dari segi kekerapan turun ke Sarawak.

Dalam tempoh sembilan tahun, beliau mengunjungi Sarawak sebanyak 63 kali ke sekitar 160 lokasi. 

“Jika anda bercakap dengan rakyat biasa Sarawak, mereka mahu Najib kembali kerana beliau pergi ke semua kawasan luar bandar.Saya bukan bertujuan mempromosikan beliau, tetapi beliau tahu apa yang dikehendaki oleh Sarawak,” kata Nancy. 

Rakyat biasa yang dirujuk Nancy mungkin bermaksud  mereka yang tidak begitu celik politik dan kurang berpendidikan, berbanding mereka yang berpendidikan, dan mempunyai celik politik, serta terdedah kepada pelbagai isu politik negeri dan negara.

Sarawak, bagi Najib begitu dekat di hatinya. Tidak dinafikan, setiap kali lawatan, beliau tidak pernah lupa membawa `buah tangan’ dan mengotakan janjinya.

Sejak PH mengambil alih kuasa, banyak projek yang diluluskan di bawah BN pimpinan Najib ,termasuk jalan raya dan jambatan dibatalkan. Ini menimbulkan rasa kecewa dan tidak senang hati rakyat Sarawak.  

Kekerapan Najib ke Sarawak, adalah kerana beliau sedar akan kepentingan Sarawak dari segi survival politik. 

Tetapi tsunami politik yang terlalu dahsyat di Semenanjung dan Sabah, menyebabkan beliau kecundang dan tidak dapat bertahan. 

Najib tidak lagi dapat diselamatkan. Najib lemas dalam gelombang kemarahan rakyat yang mahu beliau ditumbangkan. 

Kini, Najib berdepan dengan begitu banyak kes pendakwaan di mahkamah, termasuk berkaitan isu 1MDB. 

Masih adakah sinar di hujung terowong untuk Ahli Parlimen Pekan itu? Atau masa depan politik beliau boleh diangggap sebagai sudah terkubur? 

Tidak mudah untuk beliau bangkit selepas imej dan reputasinya tercemar teruk, sebahagiannya kerana kerenah dan tingkah laku serta sikap boros isterinya. Nasi sudah menjadi bubur.

Sama ada betul rakyat Sarawak suka atau mahu Najib kembali menjadi Perdana Menteri, saya percaya, bukan sekadar ditentukan oleh kekerapan beliau ke Sarawak dan sikap murah hatinya mengumumkan projek, termasuk di luar bandar. 

Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.