MIRI: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan akan mempertingkatkan aspek pelancongan di Niah, Mulu dan Pantai Tusan, Bekenu di Miri.

Menteri Pelancongan,Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan kementeriannya untuk memperhebatkan usaha menarik pelancong ke ketiga-tiga destinasi menarik berkenaan.

Jelasnya, beliau yakin sektor pelancongan di Miri khususnya akan melonjak sekiranya kemudahan sedia ada dinaik taraf selain menggandakan promosi berkaitan.

Datuk Abdul Karim berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pengerami Ngiling Tikai Zon Saeh di Dewan Masyarakat Saeh Niah, malam Sabtu.

Turut hadir ialah Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap ADUN, Bekenu, Hajah Rosey Yunus dan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni. 

Sementara itu, beliau mahu rakyat pelbagai kaum di negeri ini sentiasa mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang terjalin sejak dulu lagi.

Katanya, kekuatan Sarawak kini adalah bertunjangkan kepada perpaduan dan persefahaman kukuh antara masyarakat majmuk di negeri ini.