MATU: Kewujudan Pusat Komersial Matu bakal mengubah wajah daerah ini, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, kata Ketua Menteri.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Matu mempunyai potensi untuk diterokai bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Penduduk tempatan akan mendapat faedah apabila mereka dari kawasan sekitar dan pelawat dari luar mempunyai tempat untuk membeli-belah,” jelasnya.

Foto ST

Beliau berkata, pembinaan pusat berkenaan ialah sebahagian komitmen Kerajaan Sarawak bagi memastikan daerah pesisiran ini tidak terlepas daripada arus pembangunan.

“Pembangunan jangka panjang daerah ini memerlukan peruntukan besar. Untuk itu, kita perlukan pelan utama yang lebih strategik demi manfaat rakyat di sini,” ujarnya dalam satu majlis di sini, semalam.

Projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah.