Apakah perlu satu referendum diadakan mengenai masa depan negeri Sarawak dalam Malaysia? Selepas pembentukan Malaysia, setakat ini belum pernah lagi referendum dilakukan di Malaysia.

Referendum bermaksud pungutan suara dalam kalangan rakyat untuk membuat keputusan langsung terhadap sesuatu isu atau perkara.

Dalam konteks Malaysia, mekanisme dalam menyuarakan sikap ialah melalui sistem pilihan raya setiap lima tahun.

Dalam dunia demokrasi referendum lazimnya melibatkan seluruh rakyat. Gesaan seorang ahli politik SUPP yang mendesak diadakan referendum sekiranya Putrajaya dikatakan enggan tunduk ialah tindakan terburu-buru.

Memang perlu GPS menetapkan satu tempoh waktu bagi rundingan isu pengembalian hak-hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Sarawak dan Putrajaya perlu sama-sama membincangkan isu ini dengan saksama sesuai dengan konsep federalisme.

Tidak ada keperluan menjadi adiwira sama ada Sarawak atau Putrajaya. Tidak perlu juga membuat provokasi bahawa Sarawak dan Sabah sentiasa diketepikan dan Malaysia atau Semenanjung terus makmur.

Sedangkan wakil rakyat Sarawak di Parlimen sebelum ini sangat besar jumlahnya, iaitu 25 kerusi ahli parlimen dan ini tidak termasuk jumlah keanggotaan Menteri Kabinet terbesar pernah dicatatkannya.

Bagaimana hendak menuduh Sarawak diketepikan sedangkan wakil rakyat Sarawak sendiri pernah menjadi menteri kanan dan sebahagian daripada sistem dalam BN yang berkuasa ketika itu?

Adakah wakil rakyat di Dewan Rakyat kurang berfungsi dalam memainkan peranan mereka?

Politik raih simpati

Usaha mempolitikkan isu pembangunan di Sarawak sehingga menuntut sebuah referendum ialah politik kurang matang. Tambahan pula, tidak ada peruntukan khusus dalam Perlembagaan Persekutuan dalam pelaksanaan referendum tersebut.

Jika ada sekalipun, Suruhanjaya Pilihan Raya yang akan melaksanakan referendum tersebut.

Referendum yang menyeluruh bukan sahaja melibatkan Sarawak, akan tetapi Sabah dan Semenanjung Malaysia kerana mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan hak mereka sebagai warganegara dan rakyat negara ini.

Jadi, terdapat kurang pemahaman yang jelas dalam isu ini. Yang perlu dilakukan ialah memberikan peluang kepada rundingan kerajaan pusat di Putrajaya dengan Sarawak.

Pakatan Harapan baru setahun mengambil alih kerajaan dan sedang menyusun, merombak, dan menilai semula strategi pembangunan. Sekurang-kurangnya biarlah peluang diberikan dalam tempoh dua tahun.

Isu kononnya Sarawak harus keluar dari Malaysia jika kerajaan persekutuan enggan mengembalikan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanyalah pandangan yang tidak mewakili majoriti rakyat negeri Sarawak.

Isu hak Sarawak

Isu hak-hak Sarawak dilakukan dalam konteks negara Malaysia dan perlu sesuai dengan konsep persekutuan atau federalism.

Maka ia sesuai ditangani dalam konteks perimeter Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kini proses perbincangan masih lagi berterusan.

Kerajaan persekutuan baharu (Pakatan Harapan) melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Pemandu melibatkan Kerajaan Sarawak, Sabah dan Persekutuan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang mengkaji dan menyelaraskan MA63 secara menyeluruh.

Ini termasuk perkara berkaitan royalti minyak, kuasa autonomi, tambahan sumber kewangan Sarawak dan pembangunan Sabah dan Sarawak.

Siri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja sudah beberapa kali  bermesyuarat yang melibatkan Kerajaan Sarawak dan Sabah.

Konsep federalisme

Orang politik dan rakyat di negara ini perlu lebih memahami konsep, kepentingan dan fungsi sebuah persekutuan secara menyeluruh sebelum membuat apa-apa rumusan mengenai isu ini.

Tanpa pemahaman ini di peringkat paling dasar, keluarga dan individu maka kekeliruan akan tercetus. Politik kebencian boleh tercetus, perpaduan nasional akan terjejas.

Apabila isu pembangunan dipersoalkan maka ia perlu dilihat secara terperinci dan pihak bertanggungjawab perlu tahu kuasa bidang mereka.

Maka, rakyat perlu didedahkan mengenai Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama termasuk Perjanjian Perkara 18 dan 20 Sabah dan Sarawak bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Misalnya, isu kedaifan sekolah di negeri Sarawak bukanlah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebaliknya bidang kuasa persekutuan.

Seterusnya, segala ketidakpuasan hati rakyat Sarawak khususnya mengenai hak mereka perlu dilihat akar umbi penyebab isu ini tercetus. Maka, barulah ia dapat diselesaikan dengan lebih baik lagi serta memuaskan semua pihak.

Putrajaya pula perlu lebih aktif memastikan pembangunan seimbang, merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat. Barulah ketidakpuasan hati dapat ditangani dengan lebih baik.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya.