SERIAN: Masyarakat Dayak yang tinggal di luar bandar diingatkan supaya mempertahankan tanah mereka dan jangan sesekali menjual tanah itu kepada pihak lain.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg menegaskan, sekiranya mereka mempunyai tanah yang banyak, gunakan tanah itu untuk menghasilkan tanaman kontan atau “Cash Crop” seperti jagung, ubi, sayur-sayuran dan tanaman  tanaman herba yang mempunyai tempoh penanaman yang singkat.

Jelasnya, tanaman itu akan meningkatkan lagi hasil pendapatan mereka selain menanam pokok buah-buahan dan tanah yang mereka miliki itu merupakan aset yang perlu terus dimajukan sekaligus membawa pembangunan dalam kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Gawai Mparing Sawa 2019 (Authentic Gawai 2019) di Serian.

Tambah beliau, orang-orang muda sekarang mempunyai ilmu baru yang dapat digunakan untuk meningkatkan hasil pertanian seperti teknologi, Internet Of Thing (IOT) dan cara-cara baru untuk memajukan tanah.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri Abang Johari turut memberitahu akan melaksanakan dasar baru iaitu mewujudkan“Endowment Fund” untuk golongan ibu dan perkara itu akan diumumkan beliau semasa pembentangan bajet bulan November nanti.