BALING: Keluarga kanak-kanak lelaki yang ditemui meninggal dunia selepas didakwa bermain dengan bapa saudaranya yang menghidap Sindrom Down, masih terkejut dengan tragedi tersebut.

Ibu saudara mangsa, Normaizatul Akmar Abdul Aziz, 27 tahun berkata hubungan antara mangsa dan adiknya yang menghidap Sindrom Down itu sangat baik sebelum ini.

Mangsa, Muhammad Azfar Qayyum Md Said, 6 tahun ditemui tidak sedarkan diri oleh bapa tirinya kira kira jam 1 petang pada Sabtu di sebuah rumah di Kampung Bandar di sini, lapor Astro Awani.

Kanak kanak terbabit kemudian dibawa ke hospital baling sekitar jam 2:30 petang sebelum disahkan meninggal dunia antara empat hingga lima jam sebelum itu..

“Yang saya tahu, pagi tu dia minta minum air… kakak saya buatkan, selepas itu kakak saya nak pegi kerja, dia tengok dan lambai.

“Selepas itu yang saya tahu, suami nampak, dia pegang dah sejuk badan dia,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman menjelaskan, hasil pemeriksaan doktor mendapati wujud kesan lebam pada kepala dan badan mangsa.

Menurut keterangan  ibu bapa mangsa, seperti dipetik Astro Awani lagi, mangsa bermain tumbuk-tumbuk dengan bapa saudaranya di dalam bilik kira kira jam 7.30 malam pada Jumaat.

Jelas mereka, keadaan mangsa juga baik pada pagi hari kejadian walaupun terdapat kesan lebam pada muka.

Mereka kemudiannya keluar untuk berniaga sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri di rumah.

Tambah Abd Fatah, susulan kejadian itu bapa saudara mangsa yang berusia 16 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.