KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan , Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan sentiasa menitikberatkan kriteria kreatif dan inovatif dalam menambahbaik sektor pelancongan negeri.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedua-dua kriteria itu sangat penting untuk menambahbaik sektor pelancongan bagi menarik perhatian pelancong luar melihat produk dan memilih Sarawak sebagai destinasi percutian mereka.

Jelasnya, pelancong dari negara luar sentiasa mencari peluang untuk menghabiskan masa bercuti yang berkualiti dengan keluarga dan Sarawak merupakan destinasi pilihan yang tepat.

Selain itu, beliau memberitahu pelancong atau pelawat yang datang ke bandaraya Kuching boleh melawat ke tempat-tempat menarik yang ada di seluruh negeri ini termasuklah di bahagian Miri, Sibu dan Bintulu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konsert Gala Pesta Muzik & Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2019 yang bertempat di Dewan Undangan Negeri Lama (DUN), Kuching.

Tambah Datuk Abdul Karim, Sarawak turut menerima kedatangan pelancong dari negara luar yang berminat menghadiri pesta atau festival antarabangsa yang melibatkan muzik, seni atau aktiviti kebudayaan yang selalu dianjurkan di Sarawak.