Monday, December 5, 2022

Kecemerlangan pelajar tanggungjawab semua – Dr Hazland

Secara Rawak

KUCHING: Kejayaan seseorang pelajar dalam bidang akademik mahupun kokurikulum tidak hanya bergantung kepada guru dan sekolah semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata kejayaan yang dikecapi pelajar tidak hanya bergantung kepada guru dan sekolah, tetapi juga ibu bapa, masyarakat dan kepimpinan kampung, dan kerajaan.

“Menjadi impian ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan kehidupan apabila dewasa kelak.

“Untuk mencapainya, pelajar tidak hanya bergantung kepada pihak sekolah dan guru semata-mata. Mereka ini hanya mendidik berdasarkan kepada sukatan pelajaran selain menyerap amalan baik dalam kehidupan kepada pelajar.

“Sebaliknya, faktor lain seperti tanggungjawab ibu bapa, masyarakat kampung dan kepimpinan kampung serta kerajaan yang mencorakkan pelajar untuk menjadi lebih baik dan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Language in Motion anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia Tabuan, Sekolah Kebangsaan (SK) Tabuan dan SK Tabuan Hilir, baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan sokongannya kepada penganjuran program berbentuk akademik ini sebagai langkah untuk meningkatkan minat dan menyerlahkan bakat pelajar di luar kelas.

“Apa yang kita saksikan hari ini adalah hasil kreativiti pelajar dan para guru dalam bahasa, ilmu dan kemahiran. Inilah yang kita mahukan daripada pelajar dan sekolah supaya minda pelajar dan guru berkembang sekaligus boleh menghasilkan sesuatu teknologi yang baru kepada kehidupan kita.

“Saya percaya pelajar-pelajar kita mempunyai bakat dan kreatif dalam menghasilkan sesuatu inovasi baru yang boleh dipasarkan.

“Kita perlu terus memberikan kepercayaan kepada mereka (pelajar) supaya kreativiti pelajar dapat dipertingkat dan diperkembangkan,” katanya.

Sementara itu, Dr Hazland turut memberikan penekanan kepada aspek penguasaan Bahasa Inggeris terhadap pelajar-pelajar khususnya di sekolah rendah.

“Mulai tahun 1 Januari 2020, pelajar-pelajar tahun satu di sekolah rendah akan diajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada transformasi pendidikan di bawah Kerajaan Sarawak.

“Penguasaan Bahasa Inggeris kini menjadi semakin penting di mana teknologi yang dihasilkan banyak menggunakan bahasa antarabangsa ini selain usaha kita sistem pembelajaran kita mencapai standard antarabangsa.

“Oleh itu, ibu bapa dan guru perlu bersedia ke arah itu agar sistem yang akan digunapakai nanti dapat diaplikasikan kepada pelajar dalam mencapai objektifnya,” ujarnya.

Dalam majlis itu, pelajar-pelajar dari SMK Seri Setia Tabuan, SK Tabuan, SK Tabuan Jaya dan SK Tabuan Hilir telah mempersembahkan persembahan masing-masing dalam menyerlahkan bakat dan kreativiti mereka.

Turut diadakan pameran yang mempamerkan aktiviti bahasa daripada pihak sekolah yang mengambil bahagian dan cabutan bertuah.

Hadir sama Pengetua SMK Seri Setia Nur Muhd Aiman Abdullah, wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Penghulu Kampung Tabuan Jas Said Ketua Kaum Kampung Tabuan Lot Rokiah Tamben.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru