SEBUYAU: Para penerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Sebuyau harus memanfaatkan agihan geran tersebut dengan sebaiknya.

Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, geran yang diterima itu seharusnya digunakan untuk manfaat masyarakat setempat bukannya disalahguna untuk kegunaan peribadi.

Menurutnya, beliau tidak mahu geran MRP yang diluluskan oleh kerajaan negeri digunakan bagi tujuan lain tidak seperti yang dipohon.

“Jika permohonan MRP itu bagi tujuan membaik pulih kemudahan balai raya, maka geran berkenaan mesti digunakan untuk baik pulih balai raya, bukannya untuk kegunaan lain,” katanya.

Datuk Julaihi berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Geran MRP 2019 bagi DUN Sebuyau di Kampung Sampat Sebangan.

Dalam majlis tersebut, beliau telah menyerahkan geran MRP berjumlah RM530,000 kepada 35 penerima dari kawasan Sebuyau.

Sementara itu, Datuk Julaihi menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya terdapat penerima geran MRP menyalahgunakan dana tersebut.