BINTULU: Penanaman nanas jenis MD2 akan diperluaskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk di konstituensi berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, YB Miro Simuh berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa kluster tanaman lain bagi merangsang ekonomi setempat.

Jelasnya, bidang pertanian merupakan satu bidang yang terbukti berjaya dalam menambah pendapatan para petani atau usahawan tani.

“Buat masa ini, hasil tanaman nanas MD2 hanya untuk pasaran tempatan, namun saya yakin pada masa depan ia akan memasuki pasaran eksport.

“Ini kerana, negara China sekarang bersedia membeli 4 kontena nanas varieti MD2 dalam sebulan dan sudah tentu sukar untuk kita membekalkan kuantiti sebanyak itu sekiranya kita tidak memperluaskan tanaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Lawatan Intergrasi dan Penanda Aras Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Kaunselor Daerah Bau di Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam.

Sementara itu, YB Miro berharap rombongan lawatan tersebut akan berkongsi pengalaman mengenai pengurusan aspek pertanian kepada masyarakat di kawasan masing-masing kelak.

Jelasnya, masyarakat tani di Serembu khususnya berani mengaplikasikan penggunaan teknologi moden dalam menggandakan hasil pertanian mereka.

“Bagaimanapun, amat penting untuk para petani diberikan bantuan dan nasihat yang komprehensif terlebih dahulu mengenai teknik penggunaan pertanian pintar sebelum ia digunakan secara meluas,” katanya.