PADA 1997, dalam perhimpunan Agung Umno, buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM diedarkan kepada perwakilan.

Buku itu mendedahkan pelbagai dakwaan, fitnah dan tohmahan mengenai Anwar yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Buku tulisan Khalid Jafri Bakar, bekas wartawan,  diterbitkan dan diedarkan di sebalik pelbagai desas-desus tentang Anwar serta berita konspirasi, fitnah dan khabar angin bahawa bahawa hubungan beliau dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tegang.

Malah, sudah tersebar berita angin ketika itu, Anwar bakal dipecat daripada jawatannya.

Buku sedemikian tentu mudah memancing minat rakyat, termasuk mereka yang tidak berminat membaca buku.

Meneliti kandungan buku itu, memang ada yang mendebarkan dan menggemparkan, malah tidak kurang juga yang tidak masuk akal, malah bagai direka-reka, hanya untuk mencukupkan 50 dalil. Ini termasuk Anwar yang dikatakan sebagai suka berperang, kerana adanya perkataan ‘war’’ dalam nama beliau.

Anwar telah mengheret Khalid Jafri ke mahkamah atas saman fitnah dan penulis itu didapati bersalah membuat fitnah bertulis melalui buku itu. Pada 18 Ogos 2005, Anwar diberi ganti rugi RM4.5 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menang dalam kes itu. Khalid Jafri meninggal dunia pada 29 Ogos 2005 kerana pahanya dipotong akibat penyakit kencing manis .

Mengapakah buku itu ditulis?  Adakah buku berkenaan diterbitkan dan diedarkan sebagai strategi politik untuk menjatuhkan Anwar?

Sekali lagi, Anwar menjadi sasaran buku politik. Kali ini tajuk manuskrip ialah ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’. Kali ini yang menulis ialah seorang penulis buku politik yang prolifik sejak dekad 1970-an lagi dan bekas pengkritik sastera, Yahaya Ismail. Adakah benar Yahaya penulis upahan? Siapakah dalang di sebalik penulisan buku berkenaan?

Anwar, Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyerahkan kepada polis untuk menyiasat ugutan yang diterima beliau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penulis manuskrip buku itu.

Anwar pada Khamis turut mengesahkan beliau menerima ugutan dan diminta membayar RM400,000 jika enggan buku itu diterbitkan dan didedahkan kepada umum.

Laporan polis sudah dibuat oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Datuk Johari Abdul terhadap penulis berkenaan, yang dipercayai dibayar dan diupah untuk menghasilkan buku itu.

“Orang yang jadi penulis picisan ini dibayar, diupah dan (sudah tiba) masa untuk (penulis) diketahui oleh umum, disiasat dan diambil tindakan yang wajar,” kata Anwar.

Apakah kandungan manuskrip berkenaan? Adakah sama dengan buku tulisan Khalid Jafri atau lebih menggemparkan daripada buku sebelum ini?  Buku itu dikatakan turut mengandungi fitnah dan tohmahan terhadap Anwar.

Boleh dikatakan buku tulisan Khalid Jafri antara faktor di sebalik kejatuhan Anwar pada 1998.  Beliau dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada 2 September 1998 pada usia 51 tahun dan ketika bintang politiknya dipercayai umum sebagai begitu menyinar. Namun, Anwar yang hanya satu langkah sahaja lagi hendak menduduki kerusi Perdana Menteri, tiba-tiba kehilangan jawatan penuh kuasa itu.

Memang dalam politik Malaysia, buku politik dan kemunculan penulis buku politik adalah biasa. Mereka sama ada diupah atau bekerja sendiri untuk menaikkan seseorang tokoh atau menjatuhkannya. Mereka difahamkan dibayar sampai ratusan ribu ringgit hingga jutaan ringgit.

Penulis upahan atau ghostwriter merupakan peluang kerjaya yang dapat  diceburi sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran. Ghostwriter  dalam politik dipercayai turut melacurkan bakat dan kemahiran menulis untuk menjahanamkan tokoh politik tertentu, dan menaikkan tokoh politik lain yang mengupah mereka. Penulis upahan kadangkala menggadaikan maruah dan etika semata-mata kerana wang ringgit. Atau memang penulis upahan itu hantu yang menakutkan dan menjengkelkan?

Dalam memoirnya, A Doctor in The House yang diterbitkan pada 2011, Mahathir  berkata, jika Anwar bukan Perdana Menteri ‘hari ini’, maka ia adalah kerana perbuatan beliau sendiri.

“Beliau tidak memberikan saya sebarang pilihan selain menyingkirkannya,” katanya dalam memoir itu.

“Saya melakukan apa yang saya rasa terbaik untuk negara. Saya mungkin telah melakukan banyak kesilapan, tetapi menyingkirkan Anwar bukanlah satu daripadanya” kata Mahathir.

Selepas dipecat Anwar  dibelasah Ketua Polis Negara di Bukit Aman sehingga matanya lebam, dan imej itulah memberi kelebihan kepada pembangkang apabila digunakan sebagai poster dalam pilihan raya umum 1999. Anwar kemudian dihumban ke dalam penjara di bawah pemerintahan yang dianggap kuku besi.

Menjelang pilihan raya umum lalu, Pakatan Harapan berjanji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas Mahathir berundur dalam tempoh dua tahun.

Adakah kehadiran buku ini satu kebetulan atau sebagai strategi untuk menghalang Anwar menduduki jawatan itu? Adakah  kehadiran video di atas ranjang membabitkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR, yang dikatakan disayangi Mahathir, dan banyak diperkatakan akan menggantikan Mahathir juga satu strategi sama? Betulkah kedua-dua puak dalam PKR sedang merencanakan strategi untuk memastikan tokoh yang didukung masing-masing menduduki kerusi itu?  Adakah ini satu lagi percaturan dan konspirasi politik? Kalau betul, mengapa harus gunakan strategi jelik, tujuan menghalalkan cara?

Dalam memoirnya, Mahathir berkata:

“Saya adalah seorang yang pemaaf. Saya memulihkan kerjaya ramai orang yang cuba menggugat saya dalam politik. Malah saya menamakan salah seorang daripada mereka sebagai pengganti saya selepas Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Bagaimanapun, saya mendapati sukar untuk memaafkan Anwar kerana menjadikan saya ‘dajal di mata dunia’.”

Ya, adakah sekali lagi Anwar akan kempunan untuk menduduki kerusi Perdana Menteri? Mungkinkah buku ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ menjahanamkan masa deepan politik beliau, sama seperti 22 tahun lalu?

Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Malaysia sarawak.