MUKAH: “Buat yang terbaik dan cari pengalaman,” itulah kata-kata semangat yang disampaikan oleh Penasihat Kelab Tarian Naga, Singa dan Wushu Bahagian Mukah, Royston Valentine kepada 32 atlet Wushu Bahagian Mukah yang akan menyertai Pertandingan Tarian Naga, Singa dan Wushu Peringkat Umur Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Negeri Sarawak 2019 kali ke lima.

Atlet-atlet yang mewakili Mukah terdiri daripada pelajar SMK St. Patrick, empat orang, SMK Three Rivers (7), SJKC Chong Boon (8), SK Kampung Tellian (11) manakala SJKC Ek Hua dan SK Penakup Ulu masing-masing seorang.

Menurut Setiausaha Kelab Tarian Naga, Singa dan Wushu Bahagian Mukah, Lee Yip Ching, objektif pertandingan tersebut ialah memberi peluang kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

“Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kegiatan kokurikulum,” tambahnya.

Manakala, Pegawai Unit Kokurikulum Pejabat Pendidikan Daerah Mukah, Christoper Spencer Latip menegaskan setiap atlet yang terpilih haruslah mempunyai disiplin diri yang tinggi kerana membawa nama Mukah di pertandingan tersebut.

“Saya berharap agar semua atlet mengamalkan disiplin diri demi nama baik kontijen,” tegasnya.

Kontijen Mukah dibawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Ho Ing Siong akan berangkat ke Bandaraya Kuching pada 28 Jun 2019.

Royston Valentine