MUKAH: Seramai 11 orang murid SK Kampung Tellian terpilih mewakili Bahagian Mukah ke Pertandingan Tarian Naga, Singa dan Wushu Peringkat Umur Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Negeri Sarawak 2019 kali ke lima yang akan diadakan di Bandaraya Kuching pada 28 hingga 30 Jun 2019.

Selain sekolah tersebut, atlet Mukah terdiri daripada pelajar SMK St. Patrick (4), SMK Three Rivers (7), SJKC Chong Boon (8), manakala SJKC Ek Hua dan SK Penakub Ulu masing-masing seorang.

Objektif pertandingan ini ialah membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kegiatan kokurikulum. Ianya memberi peluang kepada semua pelajar yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

Sebagai rekod, SK Kampung Tellian Mukah merupakan sekolah kebangsaan tunggal di daerah ini yang mendaftarkan sukan Wushu sebagai persatuan berdaftar. Sekolah tersebut pernah menjadi Juara Keseluruhan Pertandingan Wushu Peringkat Daerah Mukah 2019 pada 28 April 2019 yang lalu. Baru-baru ini, kelab ini telah membantu Bahagian Mukah menjuarai Karnival Kesenian Cina Peringkat Negeri Sarawak dengan menyumbangkan sebanyak 24 emas.