KUCHING: Sarawak yang mencatat lebihan belanjawan sejak beberapa tahun, mempunyai sumber pendapatan yang kukuh, terutama selepas pelaksanaan cukai jualan ke atas eksport produk petroleum.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata cukai berkenaan menjadi sumber pendapatan baharu negeri itu, yang tidak bergantung sepenuhnya kepada rizab.

“Sarawak stabil dari segi politik, dengan sumber kewangan diurus dengan baik, dan terus menarik  pelabur domestik dan asing. Ini adalah hasil dasar mesra perniagaan selain keupayaan untuk menyediakan infrastruktur moden, serta tarif air dan tenaga yang kompetitif,” katanya semasa merasmikan Seminar Pelaburan Domestik Sarawak di sini hari ini.

Oleh itu katanya, kenyataan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini bahawa Sarawak mungkin muflis dalam tempoh tiga tahun adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan sentimen pelabur asing, khususnya ke negeri ini dan negara.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Usahawan yakin prestasi Sarawak akan lebih baik tahun ini sebagai destinasi pelaburan pilihan dan mencatat nilai pelaburan yang lebih baik berbanding RM8.6 bilion yang dikumpul tahun lepas.

Beliau berkata ada banyak petunjuk pelabur domestik dan asing melihat Sarawak, terutama dalam sektor perkilangan, berdasarkan banyak memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan pihak yang berminat.

Sarawak menduduki ranking tiga negeri teratas selepas Johor (RM30.5 bilion) dan Selangor (RM18.9 bilion) dari segi pelaburan pada 2018.

Agensi penarafan antarabangsa seperti Moody’s dan Standard & Poor’s juga mengesahkan penarafan kredit pelaburan negeri masing-masing pada A3 dan A.

Awang Tengah berkata hasil daripada inisiatif pembangunan seperti Pelan Perindustrian Sarawak, negeri itu mampu menarik pelaburan besar ke dalam pelbagai sektor perindustrian seperti industri minyak dan gas di Bintulu, industri berteknologi tinggi di Kuching, industri pembinaan kapal di Sibu dan Miri, serta industri berasaskan tenaga.

‘Dalam usaha mengguna pakai ekonomi digital, kerajaan Sarawak menyediakan RM1 bilion untuk menaik taraf infrastruktur telekomunikasi dan infrastruktur lain bagi menyediakan hubungan baik, serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.

Bagaimanapun, Awang Tengah berkata Sarawak mempunyai pasaran yang agak kecil dan perusahaan kecil dan sederhana tempatan perlu memanfaatkan pangkalan pelanggan yang lebih besar.

Selain RM16.48 juta yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, beliau berkata kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 bilion untuk menaik taraf jalan dan jalan pantai, RM6 bilion untuk Trunk Road Kedua, RM2.8 bilion untuk bekalan air dan RM2.37 bilion untuk Skim Elektrik Luar Bandar.

Peruntukan sebanyak RM1.5 bilion juga disediakan untuk Agensi Pembangunan Upper Rajang (URDA), Lembaga Kemajuan Tanah Tinggi (HAD) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) melalui platform e-dagang dan digital.

Terdahulu, timbalan ketua pegawai eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Arham Abd. Rahman berkata, sehingga 2018, sebanyak 770 projek bernilai RM82.7 bilion telah dilaksanakan di Sarawak.

Projek-projek ini mewujudkan lebih 104,000 peluang pekerjaan di negeri ini, terutama dalam gas asli, kimia dan produk kimia, produk logam asas, barangan elektronik dan elektrik, sektor kayu dan produk kayu.  — BERNAMA