Friday, August 19, 2022

Ketua Menteri beri jaminan Sarawak tidak akan jatuh muflis

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri memberi jaminan Sarawak tidak akan jatuh muflis dalam tempoh tiga tahun seperti diramalkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, apabila kerajaan mengendalikan ekonominya ada tiga perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu simpanan, pelaburan dan penggunaan.

“Inilah tiga perkara yang anda perlu tahu apabila mengendalikan ekonomi,” katanya ketika berucap merasmikan pejabat PriceWaterhouseCopers di sini, semalam.

“Saya perlu kongsikan perkara ini dengan anda kerana anda semua orang profesional. Saya tak boleh cakap sesuka hati kerana anda akan nilai saya sama ada saya cekap atau tidak,” tegasnya.

Ujar Abang Johari, Kerajaan GPS mengambil kira perkara berkenaan apabila mengendalikan ekonomi Sarawak.

Guan Eng baru-baru ini berkata pada kadar perbelanjaan yang dilakukan Kerajaan Sarawak ketika ini, ia dijangka muflis dalam tempoh tiga tahun.

Kenyataan beliau itu dikritik banyak pihak termasuk pakar ekonomi dan disifatkan sebagai mempunyai agenda politik.

“Apabila kita belanjakan wang, kita perlu tahu dari mana wang itu datang. Berbelanja tanpa mengetahui sumber kewangan adalah berbahaya,” kata Abang Johari.

“Saya telah terokai sumber hasil, bagaimana hendak dapatkan pendapatan. Sementara itu, penting juga untuk kita lindungi simpanan,” katanya.

Beliau berkata Sarawak ada hak untuk mengenakan cukai jualan terhadap gas dan minyak.

“Ini hak kita. Jika ada pihak yang tak hendak bayar ia satu kesalahan kerana ia diluluskan oleh DUN,” tegas beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru