Friday, October 7, 2022

Dakwaan peruntukan RTP masuk poket wakil rakyat adalah tidak benar

Secara Rawak

LUNDU: Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang ‘sengaja’ mempertikaikan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, setiap pembangunan projek RTP di Tanjong Datu dilaksanakan secara telus.

Tegas beliau, semua kos dan skop projek RTP yang dilaksanakan adalah ditetapkan oleh agensi-agensi pelaksana malah pelaksanaan projek dijalankan menerusi secara cabutan undi dan tender secara terbuka.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Dewan Kampung Siru Melayu di sini.

Projek naik taraf Dewan Kampung Siru Melayu Lundu itu dibina menggunakan dana RTP yang memakan kos sebanyak RM200,000.

Sehubungan itu tegas Datuk Amar Jamilah, dakwaan dakwaan kononnya duit RTP masuk ‘poket’ atau akaun wakil rakyat adalah tidak tepat.

Katanya, projek RTP diselaraskan oleh Jawatankuasa Penyelaras RTP Bahagian yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian yang mana ahli-ahlinya terdiri dari Pegawai Daerah dan agensi-agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) , Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan beberapa projek RTP lain yang akan dilaksanakan di DUN Tanjong Datu.

Antaranya projek RTP itu ialah membina baru benteng di Sungai Siru Besar Kampung Siru Melayu dengan kos RM500,000.

Seterusnya, pembinaan Anjung Usahawan Telok Melano dengan kos RM5 juta dan naik taraf Jalan Kampung Telok Melano dan Telok Serabang berjumlah RM5 juta di bawah Projek Rakyat.

Tandas awam berkonsepkan mesra alam sekitar dengan peruntukan sebanyak RM200,000 juga akan dibina di Telok Melano, ujar beliau. -Edisi UKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru