Monday, August 15, 2022

Ramalan muflis: Sarawak tak akan jadi Kelantan

Secara Rawak

Beberapa hari lalu Menteri Kewangan mendakwa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun jika berterusan diperintah oleh Gabungan Parti sarawak (GPS).

Lim Guan Eng yang juga pemimpin tertinggi DAP ini mendakwa simpanan Kerajaan Sarawak bernilai RM31 bilion akan digunakan dalam tempoh tiga tahun apabila bajet negeri berterusan sebanyak RM11 bilion.

Pada tahun ini bajet Kerajaan Sarawak ialah RM11.9 bilion.Maka, menurut hujah Guan Eng, rakyat perlu mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri akan datang yang dijangka bubar pada pertengahan 2021.

Setiausaha Agung DAP ini juga memberikan amaran dan menyifatkan tidak seharusnya Sarawak menjadi negeri Kelantan, yang ditadbir secara teruk hingga tidak mampu membayar gaji penjawat awam mereka sendiri.

Selain itu, Guan Eng juga menuduh GPS bersama-sama UMNO dan PAS sabotaj aspirasi rakyat Sarawak apabila 18 ahli parlimen GPS dan satu ahli parlimen mesra GPS yang merupakan 59 ahli parlimen yang berkecuali dalam pindaan Perkara 1(2) di parlimen pada 9 April lalu hingga parlimen gagal mendapat dua pertiga persetujuan majoriti untuk diluluskan di parlimen.

LGE juga meminta rakyat Sarawak untuk memilih Pakatan Harapan untuk memberikan pengajaran kepada rakyat Sarawak kerana kononnya kerajaan negeri sedia anda gagal memenuhi aspirasi rakyat.

Disanggah

Namun kenyataan ini disanggah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyatakan kerajaan negeri tidak akan menggunakan simpanan negeri untuk membiayai bajet Sarawak.

Sebaliknya ia menggunakan hasil pendapatan negeri Sarawak yang baharu, iaitu lima peratus daripada hasil jualan terhadap hasil pengeluaran petroleum.

Di portal FB GPS menangkis kenyataan LGE apabila mengemukakan info mengenai bajet negeri Sarawak. Ia memberikan info bahawa jangkaan pendapatan kerajaan negeri ialah RM10,513 bilion, manakala anggaran perbelanjaan ialah RM 10,391 dan ini bermakna terdapat lebihan RM 122 juta.

Kritikan netizen juga berlegar di media sosial terhadap kenyataan Lim Guan Eng ini. Ada yang mempersoalkan apakah yang akan berlaku kepada negara ini sekiranya tanpa sumbangan pendapatan negeri Sarawak yang disalurkan kepada pembangunan negeri di Semenanjung melalui kerajaan pusat?

Petronas Twin Tower, Malaysia

KLCC dan lebuh raya di Semenanjung Malaysia adalah antara sumbangan hasil daripada Sarawak.

Hakikatnya, Sarawak telah memberikan sumbangan besar dari segi kewangan negara apabila 95 peratus hasil pendapatan minyak diberikan kepada kerajaan persekutuan di Putrajaya, manakala Sarawak hanya menerima lima peratus daripada royalti minyak.

Pun begitu, Sarawak dapat berjimat cermat dan berjaya mengumpul wang simpanan kerajaan dan kini mempunyai simpanan sekitar RM30 bilion.

Sarawak kini berjaya menambahkan hasil pendapatan dengan pendapatan-pendapatan lain.
Kerajaan negeri kini mengenakan lima peratus cukai jualan ke atas minyak dan gas dan ini memberikan pendapatan RM 3.8 bilion setahun.

Guan Eng memilih enggan menjawab apabila diajukan mengenai pendapatan tambahan Sarawak melalui cukai jualan ke atas produk petroleum yang berdasarkan perlembagaan negeri.

Hal ini kerana beliau tidak ada kuasa dalam hal tersebut, kerana ini merupakan urusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang lebih berkuasa daripada Guan Eng.

Kerajaan pusat kini dilihat bergantung kepada Petronas sebagai sumber pendapatan mereka, selain meminjam wang dari negara lain dalam bentuk bon seperti Panda dan Bon Samurai dari negara Jepun.

Beberapa projek pembangunan rakyat seperti pembinaan jambatan Batang Rambungan, Batang Lupar, Batang Lassa dan Batang Igan terpaksa diambil alih Kerajaan Sarawak kerana pihak kerajaan Pakatan Harapan tidak mahu meneruskan projek pembangunan rakyat tersebut.

Isu dicetuskan oleh Lim Guan Eng memberikan pelbagai reaksi rakyat Sarawak.
Di satu sisi dapat dilihat LGE cuba menuduh Sarawak akan bangkrap, pada masa yang sama ia juga dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan isu ekonomi negara yang masih lagi dilihat terumbang-ambing.

Ramai pelabur asing jual saham tempatan di Bursa Malaysia sebanyak RM2.76 bilion dalam tempoh empat bulan tahun ini dan ini menjadikan aliran keluar dana asing membimbangkan jika terus berterusan.Aliran keluar dana asing Malaysia kini menjadi terbesar di Asia Tenggara.

Pada masa yang sama, isu pergolakan dalaman Pakatan Harapan termasuk cubaan menjatuhkan sesama sendiri dalam persaingan politik dan dilihat lebih fokus berpolitik daripada hala tuju pembangunan kurang sihat untuk membina apa-apa yang pernah dikatakan untuk membina Malaysia Baharu.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru