MIRI: Polis menahan seorang lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM57,500 dalam satu operasi antidadah di tepi jalan menuju ke Kampung Lopeng, Jalan Miri-Bintulu pukul 10.50 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, suspek berusia 33 tahun yang berasal dari Kampung Seberang Kedai, Limbang ketika ditahan didapati memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 31.26 gram disimpan dalam satu peket plastik dan ditemui  dalam poket seluar suspek.

“Suspek pada hari yang sama pukul 6.30 petang telah membawa polis ke bilik sewa hotel suspek dan menjumpai 5,100 gram  dadah sintetik iaitu Methyl?enedioxy?methamphetamine (MDMA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata, selain dadah polis turut merampas Pasport Terhad Ke Brunei Darussalam milik suspek serta kad askes pintu bernombor siri.

“Ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya sambil menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.  — BERNAMA