SARIKEI: SUPP perlu mengukuhkan kedudukannya supaya sama kuat seperti parti komponen GPS lain.

Adun Repok Datuk Sri Huang Tiong Sii berkata, ada cahaya di hujung terowong apabila SUPP cawangan Sarikei menerima lebih 100 ahli baharu, semalam.

Mereka terdiri daripada bekas ahli PSB, parti serpihan SUPP, dan individu yang tidak mewakili mana-mana parti.

Selain SUPP, parti lain yang menganggotai GPS ialah PBB, PRS dan PDP.

PSB yang diterajui Datuk Seri Wong Soon Koh bukan anggota GPS, tetapi mendakwa mesra GPS.

Kebelakangan ini ada gesaan supaya Soon Koh digugurkan daripada Kabinet, sekali gus mencetuskan desas-desus bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan melakukan rombakan Kabinet.

Namun, ditanya wartawan semalam, beliau menafikan akan ada rombakan Kabinet atau peristiwa besar dari segi politik pada minggu depan.

Adun Repok itu menggesa ahli SUPP di sini supaya bersatu bagi mengukuhkan kedudukan parti tertua Sarawak itu.

SUPP ditubuhkan pada 1959, dan pada asalnya ialah parti pelbagai kaum.

“Mereka perlu tarik balik bekas ahli SUPP yang telah diperdaya menyertai parti lain,” tegas Huang yang juga Pengerusi cawangan SUPP Sarikei.

“Yang pasti lebih ramai akan menyertai SUPP Sarikei, namun kita perlu lakukannya secara berperingkat-peringkat,” jelasnya dalam satu majlis di sini, semalam.