Saturday, August 20, 2022

Senjata politik tanpa sempadan

Secara Rawak

Politik kotor seolah-olah matlamat menghalalkan cara. Dalam politik, orang politik selalu menjadi mangsa tindak tanduk ini sama ada kecuaian dan kelekaan mereka sendiri hingga mudah terperangkap dalam isu yang boleh menjatuhkan reputasi malah karier politik mereka.

Sebagai ahli politik mereka merupakan tokoh awam yang sentiasa diberikan perhatian dan tempat dalam masyarakat. Mereka juga milik masyarakat yang memilih mereka sebagai wakil rakyat dan pemimpin. Justeru, setiap perlakuan mereka sentiasa menjadi perhatian.

Isu seks sebagai senjata politik bukanlah sesuatu yang baharu dalam politik dunia klasik dan moden. Bill Clinton juga terjebak dalam isu ini apabila dikatakan bersama Monica Lewinsky pelatih di White House. Di Indonesia Gus Dur juga dituduh berselingkuh dengan Aryanti. Yang terbaru di Indonesia Habib Rizieq yang merupakan pemimpin gerakan islan juga dilempar tuduhan yang sama.

Di Malaysia dalam pemerintahan Tun Mahathir, tuduhan isu liwat terhadap Anwar menyebabkan Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri tanpa menunggu hasil siasatan polis dan mahkamah. Ini menyebabkan kebangkitan rakyat dan gerakan reformasi bermula hingga tertubuh Parti Keadilan. Kini isu seks sejenis ini berulang lagi pada era pemerintahan Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7.

Senjata politik

Isu ini kerap digunakan dalam politik kerana dilihat sebagai senjata paling kuat untuk menjatuhkan bagi orang politik. Lebih-lebih lagi isu seks sejenis yang dilihat kotor, jijik dan menjadi tabu kepada masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia. Orang Melayu memandang rendah perlakuan seks sejenis ini kerana terkeluar daripada nilai dan norma hidup. Pelakuan melanggar tabiee sangat dikecam, terhina dan dilaknat masyarakat.

Dalam isu Azmin Ali, awal-awal lagi Mahathir mempertahankan dan membersihkan tuduhan terhadap Azmin Ali. Ini berbeza dengan sikap, pendirian dan tindakannya terhadap Anwar, iaitu dipecat sebelum siasatan polis dan sabitan mahkamah. Azmin bertuah kerana dapat dukungan ini daripada Mahathir.

Namun ramai yang melihat jelas cara berbeza dan memihak ini dan proses undang-undang dan ketidakadilannya terhadap Anwar. Apapun, tindak tanduk Mahathir sukar dijangka kerana beliau sebagai ahli politik yang berpengalaman luas dan licik dan sentiasa berada 3 langkah ke depan. Percaturannya boleh berubah-ubah mengikut kepentingan politik.

Pesaing Politik

Apabila peralihan kuasa berlaku dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, maka kekosongan jawatan timbalan perdana menteri akan berlaku kerana Wan Azizah akan meletak jawatan.

Siapakah akan menjadi timbalan perdana menteri? Adakah Azmin Ali dari PKR? Kalau mengikut situasi sekarang, Perdana Menteri dari parti Bersatu, Timbalan Perdana Menteri dari PKR. Kalau inilah perkiraannya, maka yang bakal menjadi TPM ialah Tan Sri Muhyidin Yassin atau Mukhriz apabila Anwar menjadi PM.

Namun Azmin Ali dilihat lebih berkarisma berbanding Mukhriz dari segi tindak tanduk berpolitik. Beliau mempunyai aura dan cara tersendiri dalam menarik pengaruh dan pengikut. Azmin juga merupakan ahli politik yang lebih banyak mengharungi ranjau dan duri politik selama 21 tahun berbanding Mukhriz.

Sekiranya, penilaian ini tepat, tidak mustahil akan berlaku rombakan kabinet dan Mukhriz Mahathir akan dilantik menjadi ahli kabinet persekutuan. Jawatan Menteri Besar akan diserahkan kepada Datuk Johari Abdul dari PKR atau calon lain. Manakala Muhkriz pula akan dilantik ke jawatan strategik seperti menteri pendidikan atau menteri dalam negeri.

Sekiranya pelantikan jawatan strategik ini berlaku, ini merupakan petanda Mukhriz akan berpeluang bergerak ke satu tangga politik lagi. Tangga politik seterusnya ialah ke jawatan timbalan perdana menteri. Sekiranya ini berlaku, Mahathir berjaya meninggalkan legasi politiknya kepada Mukhriz.

Namun percaturan ini tidak semudah seperti dijangka, kerana Tan Sri Muhiyidin Yassin dan Azmin Ali merupakan gergasi politik yang tidak boleh dipinggirkan. Sumbangan kedua-dua tokoh ini agak besar dan masing-masing mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi. Sudah pasti persaingan politik ini tidak dapat dielakan akan berlaku.

Dalam persaingan politik ini, tidak mustahil terdapat pihak luar melaga-lagakan persaingan ini untuk kepentingan dan motif tertentu. Sudah pasti ini di luar pengetahuan pesaing politik ini dan hanya pihak polis lebih bijaksana dalam menyiasat kes dan isu seumpamanya. Selebihnya, kita tunggu dan lihat drama politik ini.

Ia seolah-olah ‘drama dalam drama politik’ dan ‘politik dalam politik’. Ada yang melihat sebagai parodi politik. Rakyat menonton drama ini sambil membuat pelbagai tafsiran dan interpretasi masing-masing!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru