“Tanamlah semangat perasaan muhibbah,
Kekalkan perpaduan biarlah bertambah,
DiHari Raya tradisi tak diubah,
Artis 60-an permainan disembah,

Apabila tiba di Hari Raya,
Semua kaum bersuka ria,
Tidak kira miskin ataupun kaya,
Mengikut kemampuan acara dan gaya,

Rakyat Malaysia semua golongan,
Marilah kita menggemblengkan tangan,
Kepada Kerajaan berilah sokongan,
Hidup bersatu berpecah jangan.”

Itu merupakan petikan lirik yang ada dalam lagu hari raya nyanyian M. Shariff dan The Zurah berjudul Boria Hari Raya.

Siapa yang tidak kenal M.Shariff? Untuk pengetahuan , M.Shariff juga terkenal dengan lagu Musafir di Aidilfitri di mana lagu ini sentiasa berada di corong-corong radio apabila tibanya Hari Raya.

Penulis tertarik dengan lirik lagu yang dinyanyikan oleh M.Shariff atau nama sebenarnya Shariff Bin Awang yang mempunyai unsur-unsur menerapkan semangat perpaduan di dalam negara.

Sudah tentu , para penggiat seni sudah mulakan untuk memupukkan semangat perpaduan di dalam lirik lagu mahupun video klip lagu mereka.

Tidak kira apa-apa jua pun perayaan yang disambut, semua kaum yang terdapat di Malaysia bergembira kerana wujudnya acara yang boleh mengeratkan semula hubungan silaturahim sesama mereka iaitu “acara rumah terbuka”.

“Acara rumah terbuka” ini bukan hanya dilakukan oleh sesuatu kaum sahaja, tetapi semua kaum yang juga boleh melakukan acara rumah terbuka mengikut perayaan yang disambut oleh mereka.

Itulah uniknya negara bernama Malaysia yang mempunyai lebih 30 etnik . Ini merupakan kelebihan Malaysia berbanding negara-negara lain . Kita mampu hidup dalam kepelbagaian dalam keadaan harmoni dan aman.

Walaupun , terdapat sekelompok golongan yang tidak bertanggungjawab cuba memporak-perandakan kaum-kaum di Malaysia, namun dengan adanya semangat untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan, ia berjaya dihalang oleh rakyat Malaysia sendiri.

Kita perlu menjadikan Sarawak sebagai model di Malaysia bagi mengukuhkan semangat perpaduan antara kaum. Sarawak yang mempunyai lebih kurang 28 etnik boleh hidup aman sepanjang 56 tahun sejak bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963 lalu.

Apabila kita berjaya mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, ia sekaligus dapat membentukkan semua negara yang maju dan terus ke hadapan .

Ini kerana, apabila rakyat bersatu hati untuk memajukan negara, sudah tentu tiada halangan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang maju dan berbilang bangsa seiring dengan negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jepun.

Penulis berharap agar kita mampu merealisasikan impian Malaysia agar menjadi sebuah negara maju dan berbilang kaum seperti dalam Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penulis merupakan graduan Sains Sosial(Kajian Politik dan Pemerintahan , Universiti Malaysia Sarawak)