KUCHING: Setiausaha politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Hilman Idham dilaporkan telah menasihati Haziq Abdullah Abdul Aziz untuk berjumpa ahli keluarganya selepas video sumbang lelaki menyerupai Haziq tersebar.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong berusia 27 tahun itu dalam video beberapa hari lalu mendakwa dia lelaki di ranjang dalam bilik hotel  di Sandakan bersama seorang menteri.

Anggota Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu seperti dipetik Suara Keadilan menyifatkan maruah keluarga penting untuk dijaga apabila berhadapan dengan situasi begini.

“Haziq juga meminta pandangan saya untuk beliau bertemu keluarganya bagi mendapatkan pandangan.

“Saya bersetuju dan meminta beliau bersabar,” katanya seperti dilapor lidah rasmi PKR itu.

“Malah, saya menasihatkan beliau bahawa dalam menghadapi fitnah begini, keluarga adalah elemen penting yang harus dipelihara perasaan dan maruahnya,” katanya dalam laporan itu.

Pertemuan antara Hilman dan Haziq dilakukan sebuah Restoran Zest Coffee House, Marriot Hotel, Putrajaya.

Pertemuan tersebut adalah atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, kata Hilman.

Hilman telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan satu laporan qazaf berkaitan isu penyebaran video lucah itu di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Putrajaya.

Azmin  melalui satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dirinya terbabit dalam video lucah yang sedang beredar di media sosial dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk menamatkan kerjaya politiknya.

Episod terrbaharu ini dikatakan merupakan satu strategi kotor untuk menjatuhkan Azmin dalam arena politik.

Azmin dilihat sebagai calon Perdana Menteri di sebalik janji PH memberi peluang kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun.

Perkembangan politik terbaharu ini, kata pemerhati politik, jika tidak ditangani dengan baik boleh mencetuskan perpecahan dalam PKR dan PH.

Perkembangan terbaharu itu, kata mereka, ada kaitan dengan politik dalaman PKR.